RINGGIT JATUH KE PARAS PALING RENDAH DALAM SEJARAH PADA JANUARI
Pada Julai 1997, $1 USD bersamaan sekitar RM2.50. 7 Januari 1998, $1 USD bersamaan sekitar RM4.80. Itu adalah paras terendah Ringgit Malaysia dalam sejarah.
Bayangkan jika anda mempunyai perniagaan yang memerlukan mengimport barang dari luar, kos untuk anda import dari luar meningkat mendadak hampir 2 kali ganda. Kos operasi meningkat dua kali ganda. Banyak syarikat tempatan menggulung tikar kerana tidak mampu hadapi peningkatan kos operasi.
KRISIS KEWANGAN ASIA 1997-1998
Krisis 1997-1998 adalah krisis kewangan yang sentiasa disebut-sebut oleh penganalisa ekonomi, pengamal media, ahli politik, malahan rakyat biasa. Apa yang berlaku sebenarnya pada tahun tersebut?.
Kami kupas dengan bahasa yang mudah.
KRISIS BERMULA DI THAILAND
Pada tahun 1997, Krisis Kewangan Asia bermula. Segalanya bermula di Thailand. Pada Julai 1997, negara Thailand menjadi negara pemula kepada krisis ini, sebelum merebak ke beberapa negara Asia yang lain, termasuklah negara kita Malaysia.
Secara tepat, pada 2 Julai 1997, kerajaan Thailand kehabisan matawang asing yang disimpan, atau bahasa ekonominya adalah Foreign Exchange Reserve telah habis diguna pakai. Disebabkan simpanan matawang asing telah habis, kerajaan Thailand tidak lagi mampu untuk menyokong kadar tukaran matawang semasa, sekaligus terpaksa mengapungkan nilai Baht secara terbuka tanpa ada sokongan.
Untuk rekod, sebelum 2 Julai 1997 Baht diikat kepada US Dollar menjadikan matawang tersebut stabil. Tetapi apabila kerajaan Thailand sudah tidak mampu lagi untuk mengikat matawang Baht kepada US Dollar, nilai Baht jatuh menjunam dalam satu malam.
2 minggu selepas itu, matawang Peso Filipina, dan Rupiah Indonesia juga terkesan apabila jatuh mendadak. Krisis semakin berlarutan, merebak ke beberapa negara Asia lain dan pasaran saham jatuh menjunam pada bulan Ogos tahun tersebut.
PUNCA KRISIS KEWANGAN ASIA
Untuk menjelaskan secara spesifik kenapa krisis ini berlaku agak sukar. Tetapi yang jelas, kejatuhan nilai matawang kebanyakan negara Asia adalah punca utama.
Pada penghujung tahun 1980, dan awal 1990, kebanyakan negara Asia termasuklah Thailand, Singapura, Malaysia, Indonesia dan Korea Selatan mencapai pertumbuhan ekonomi yang sangat pesat, sekitar 8% ke 12% peningkatan Keluaran Negara Kasak (KDNK). Zaman yang digelara “Asian Economic Miracle”.
Ekonomi negara tersebut meningkat disebabkan oleh peningkatan eksport dan limpahan pelaburan asing masuk ke dalam negara. Disebabkan oleh keadaan tersebut, bank pusat meningkatkan kadar faedah dan mengikat nilai matawang ke US Dollar untuk mengukuhkan lagi pertumbuhan ekonomi.
KENAPA MATAWANG DIIKAT KEPADA US DOLLAR?
Supaya matawang Asia pada masa tersebut sentiasa stabil dan menyokong sektor eksport pada masa tersebut. Untuk perkara ini berlaku dan terus bertahan, setiap negara memerlukan simpanan matawang asing (Foreign Reserve Exchange) yang besar bagi menyokong matawang yang diikat tersebut.
Menjelang pertengahan tahun 1990, ekonomi Amerika Syarikat kembali pulih daripada kemelesetan. Federal Reserve menaikkan kadar faedah menyebabkan peningkatan nilai US Dollar pada ketika itu. Disebabkan polisi mengikat matawang ke USD, matawang Asia pada ketika itu juga turut meningkat mendadak, sekaligus memberi kesan kepada pasaran eksport (negara luar terpaksa membayar lebih kerana nilai matawang semakin mahal).
Pelabur asing mula panik dan mula untuk keluar daripada negara Asia menyebabkan pengeluaran besar-besaran modal yang dilabur sekaligus memberi kesan kepada keyakinan nilai matawang. Untuk stabilkan kembali nilai matawang pada ketika itu, kerajaan Thailand perlukan simpanan matawang asing yang besar, malangnya, simpanan tersebut telah kehabisan.
Perkara yang sama berlaku kepada beberapa negara yang lain, termasuklah Malaysia.
Keadaan ini diambil peluang oleh pemain Forex seperti George Soros, yang terlibat dalam spekulatif matawang, mengambil peluang mengaut keuntungan dengan memanipulasi pasaran matawang pada ketika itu.
KEPENTINGAN MEMPUNYAI SIMPANAN MATAWANG ASING YANG BANYAK
Sesebuah negara memerlukan simpanan matawang asing yang banyak, itu adalah pengajaran yang perlu diambil pada krisis kewangan Asia 1997-1998. Kebanyakan negara mempunyai simpanan tersebut, dan majoriti dalam matawang US Dollar.
Tunggu kupasan kami seterusnya berkaitan FOREIGN RESERVE EXCHANGE.