Bank Pusat Lubnan serta negara itu sendiri telah diisytihar muflis hari ini, umum Timbalan Perdana Menteri, Saadeh Al-Shami.
“Negara telah muflis kerana Banque du Liban yang telah mengalami kerugian dan kami cuba untuk mengurangkan kerugian kepada rakyat.
“Tiada sebarang konflik mengenai pengagihan kerugian tersebut,” kata Al-Shami kepada media tempatan, Al-Jadeed, lapor Anadolu Agency.
Beliau berkata, kerugian itu akan diagihkan di dalam kalangan negeri, Banque du Liban, bank-bank dan pendeposit.

Menurut Anadolu Agency, sejak akhir 2019, Lubnan telah bergelut dengan krisis ekonomi yang teruk temasuk kesusutan nilai mata wang yang besar, serta kekurangan bahan api dan bekalan perubatan.
Difahamkan, nilai mata wang Lubnan telah hilang sebanyak 90 peratus, sekaligus menghalang orang ramai untuk membeli barangan asas termasuk makanan, air, penjagaan kesihatan dan pendidikan.
Manakala, gangguan bekalan elektrik juga dilapor semakin kerap terjadi hingga ia menjadi perkara biasa kerana faktor kekurangan bahan api.
“Al-Shami berkata bahawa keadaan negara tidak boleh diabaikan, justeru itu pengeluaran bank tidak boleh dibuka kepada semua orang.
“Saya berharap kita berada dalam keadaan seperti biasa,” tambahnya, lapor Anadolu Agency.
Dalam pada itu, pengeluaran tunai dalam mata wang asing telah dihadkan dengan ketat sejak tahun 2019 disebabkan oleh krisis ekonomi yang berterusan.