Lebih dua dekad selepas ia mula-mula muncul, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) akhirnya ditubuhkan untuk menyiasat skandal pertukaran asing Bank Negara Malaysia (BNM).
Kerugian daripada dagangan forex BNM, yang didakwa melebihi AS$10 bilion (RM25 bilion ketika itu), dipercayai berlaku antara 1987 dan 1992 apabila kadar pertukaran masih antara RM2.3 dan RM2.5 kepada dolar AS.
Dalam temu bual dengan New Straits Times pada Januari tahun 2017, bekas penolong gabenor BNM Datuk Abdul Murad Khalid berkata punca kerugian besar itu adalah kerana tiada kawalan dan “tiada siapa yang tahu apa yang berlaku”.
Gabenor BNM ketika itu, Allahyarham Tan Sri Jaafar Hussein, meletak jawatan berikutan skandal itu dan dipersalahkan kerana perkara itu, tetapi selepas pendedahan Murad, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed ketika itu berkata bapa mentuanya telah menjadi kambing hitam kepada “orang lain ”.
Skandal itu, antara yang terbesar dalam sejarah Malaysia, berlaku semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurut laporan Reuters dari tempoh itu, BNM pada 1989 menjadi semakin agresif dalam perdagangan pertukaran asingnya, kononnya untuk menstabilkan ringgit.
Dua tahun kemudian, ia telah menjadi “kuasa dominan” dalam pasaran forex global, membelanjakan jumlah antara lima dan 10 kali ganda daripada norma bagi bank pusat dan pada frekuensi harian berbanding frekuensi berapa kali bank pusat lain menceburi urus niaga sedemikian.
Pada masa yang sama, jutawan AS George Soros juga merupakan peniaga mata wang yang aktif dan telah membuat spekulasi mengenai pound British, sama seperti BNM.
Tetapi kedua-duanya mempunyai ramalan yang berbeza: Soros bertaruh bahawa pound akan jatuh, manakala peniaga BNM percaya ia akan melonjak.
Akhirnya, Soros meramalkan dengan tepat, memperoleh keuntungan berjumlah AS$1 bilion yang dilaporkan dalam masa sehari dan permusuhan seumur hidupnya dengan Dr Mahathir.
Tahap kerugian BNM tidak pernah dipastikan sepenuhnya.
Pada masa itu, Tun Daim Zainuddin — orang kepercayaan kepada Dr Mahathir — adalah menteri kewangan (1984 — 1991) manakala Tan Sri Nor Mohamed Yakcop adalah penolong gabenor BNM.
Bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyandang jawatan menteri kewangan ketika itu pada 1991, tetapi ketika itu beliau menafikan penglibatan dalam keputusan BNM yang membawa kepada kerugian yang didakwa.
Anwar berkata, beliau hanya mengetahui kerugian itu pada 1992 ketika berada di luar negara. Dalam satu kenyataan April 2017, Anwar berkata masalah itu mula diketahui menerusi laporan berita antarabangsa dan pasaran Zurich pada penghujung 1991 dan awal 1992.
Pada tahun 1993, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang adalah yang pertama membangkitkan perkara itu di Parlimen, dengan mendakwa bahawa kerugian forex BNM dianggarkan RM30 bilion.
Lim terus menulis buku bertajuk Skandal Kerugian Forex RM30 Bilion Bank Negara mengenai perkara itu dan membuat desakan untuk RCI untuk menyiasat kes itu.
Pada Februari 2017, Kabinet membentuk pasukan petugas khas untuk menyiasat dakwaan Murad, yang memuncak dengan pengumuman bahawa RCI akan dipanggil untuk menyiasat.
Pada Febuari 2018 Seramai 27 individu telah dipanggil untuk memberikan penyata mereka mengenai kerugian RM31.5 bilion yang ditanggung oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kerugian pertukaran asing (forex) antara 1992 dan 1994.
Daripada 27 orang itu, 19 kakitangan BNM, lima daripada Kementerian Kewangan manakala tiga orang awam termasuk bekas menteri.
Siasatan juga dibuat sama ada pemindahan pemilikan dan penjualan saham Tenaga Nasional Berhad (TNB), Telekom Malaysia Berhad (TM), Malaysian Airlines System Bhd (MAS) dan Malaysian International Shipping Corporation (MISC), dilakukan secara rahsia kepada BNM pada tahun 1993 untuk menyerap sebahagian daripada kerugian yang ditanggung ke atas kerugian forex, dengan tujuan untuk menyembunyikan kerugian dan mengimbangi nombor.
Pada 15 Julai 2018, Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kerugian yang ditanggung oleh BNN dalam pasaran forex pada 1990-an.
Susulan RCI, setiausaha suruhanjaya itu, Datuk Dr Yusof Ismail membuat laporan polis selepas mendapati terdapat unsur pecah amanah, penipuan dan kesalahan lain yang mungkin dilakukan oleh mereka yang terlibat dalam perdagangan itu.
Polis kemudian melancarkan siasatan dengan menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat kes itu mengikut Seksyen 409, 417 dan 418 Kanun Keseksaan.
Penemuan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai skandal BNM dikategorikan sebagai “tiada tindakan lanjut” oleh PDRM kerana kekurangan dokumen bukti untuk meneruskan siasatan.
RCI membuat kesimpulan bahawa Anwar dan perdana menteri pada masa itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, perlu disiasat untuk melihat sama ada mereka telah mengelirukan kerajaan berhubung perkara itu.
Selain itu, pengadu asal — setiausaha RCI Yusof Ismail — turut menarik balik laporan polisnya pada November 2017.
Antara penemuan RCI ialah BNM kehilangan RM31.5 bilion dalam pasaran forex antara 1992 dan 1994, dan bahawa kerugian akibat spekulasi tidak senonoh boleh menjadi pecah amanah jenayah seperti yang ditakrifkan di bawah Seksyen 406 dan 409 Kanun Keseksaan.
Pada May 2022,beberapa bulan sebelum dimasukkan ke penjara setelah dijatuhkan hukuman 12 tahun penjara dan denda 210 juta oleh Mahkamah Persekutuan berkaitan kes penyelewengan dana 42 juta SRC,bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mendesak supaya kerajaan pimpinan perdana menteri Datuk Seri Ismail sabri ketika ini membuka semula siasatan RCI yang dikategorikan ‘No further Action’.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga turut pernah dipenjara 6 tahun selepas didapati bersalah terhadap empat tuduhan amalan rasuah yang dilakukannya pada 1997 berkata beliau tidak mempunyai masalah sekiranya kerajaan ketika ini membuka semula siasatan berhubung skandal pertukaran asing (forex) Bank Negara Malaysia bernilai RM33 bilion yang berlaku pada 1994 semasa beliau menjadi menteri kewangan.
Sehingga ke hari ini,skandal forex ini masih merupakan skandal kewangan terbesar pernah terjadi dalam sejarah negara ini.