KEADAAN ekonomi negara yang masih tidak stabil pada masa kini menjadi dilema dalam kalangan masyarakat sehinggakan ada yang terpaksa bekerja lebih waktu atau mencari pendapatan sampingan.
Tertekan dengan kos sara hidup dan harga barangan yang semakin meningkat, rakyat terpaksa memikirkan jalan lain untuk menjana wang bagi menampung perbelanjaan isi rumah.
Hakikatnya, sehingga kini pembangunan dari segi taraf hidup masih lagi belum di tahap yang memuaskan meskipun pelbagai inisiatif bantuan telah ditawarkan oleh kerajaan bagi pelbagai lapisan masyarakat.
Dalam pada itu, pilihan lain bagi rakyat Malaysia adalah berhijrah ke negara lain bagi mendapatkan pekerjaan dengan tawaran gaji yang lebih baik.
Melihat pada alternatif tersebut, ia bukan satu pilihan yang teruk kerana negara luar seperti Singapura, Australia, Jepun, United Kingdom, Arab Saudi dan lain-lain menawarkan pendapatan lumayan sehingga mencecah tiga kali ganda berbanding gaji di negara ini.
Menariknya, tawaran gaji tersebut bukan hanya melibatkan golongan profesional semata-mata malah turut merangkumi pelbagai sektor termasuk sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar).
Pada Khamis, Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (Unirazak), Profesor Dr Barjoyai Bardai berkata, trend bekerja di luar negara itu dijangka akan terus meningkat pada masa yang akan datang.
Ujar beliau, kebanyakan negara luar juga memerlukan tenaga kerja untuk sektor tertentu. Jadi situasi itu sudah tentu membuka peluang dan ruang kepada rakyat di negara ini untuk bekerja di luar negara.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berpandangan kekosongan pekerjaan di Malaysia akan terus diisi oleh pekerja asing sekiranya trend tersebut berterusan.
Menurutnya, sekiranya negara tidak mengambil pengajaran melalui situasi berkenaan, pekerja tempatan akan lebih suka untuk bekerja di luar negara.
Jelasnya, majikan akan menggunakan alasan itu untuk tidak menaikkan gaji pekerja sekiranya syarikat-syarikat banyak bergantung kepada pekerja asing.
Dari aspek penawaran gaji serta budaya kerja yang sihat, negara masih lagi ketinggalan berbanding negara-negara luar yang lain.
Justeru itu, isu ini perlu dikaji dengan lebih mendalam dan kerajaan perlu merangka pelan strategik bagi mengatasi isu ini sebelum terlambat.- SINAR