Dijangkakan kerajaan peroaduan pimpinan DS Anwar Ibrahim akan melaksanakan pelarasan semula subsidi negara, Minyak RON 95, diesel dijangka diapungkan ikut harga pasaran tahun 2023.
Pengguna kenderaan di Malaysia akan mula membayar harga pasaran untuk petrol RON 95 dan diesel tidak lama lagi, memandangkan terdapat kemungkinan tinggi subsidi bersasar akan dilaksanakan selepas pembentangan bajet 24 Febuari 2023 nanti.
Ini turut merupakan pandangan daripada Maybank Investment Bank, seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian tahun lalu sebelum pilihanraya umum ke 15 lagi .
“Kami menjangkakan harga RON95 dan diesel yang lebih tinggi tahun depan dengan semakan semula subsidi bahan api.
Kami difahamkan ujian mekanisme subsidi bersasar dimulakan bulan lalu dan akan berjalan tiga hingga enam bulan.
Sekarang ini memang nampak jelas rejim subsidi bahan api menyeluruh di Malaysia perlu dirombak.
Golongan berpendapatan tinggi T20 kini menikmati sekitar RM8 bilion subsidi minyak berbanding RM6 bilion oleh golongan B40.
Perkara ini pernah didedahkan oleh mantan menteri kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz Mei 2022 lalu.
Beliau mengulang kembali apa yang dikatakan pada bulan Mei tahun lalu, iaitu golongan kaya di Malaysia menikmati bahagian besar subsidi daripada kerajaan.
“Untuk setiap RM1 subsidi bahan api, 53 sen pergi kepada golongan T20 manakala 15 sen kepada B40.
Jadi sebagai contoh, jika jumlah subsidi tahun ini dijangka menjadi RM30 bilion, lebih RM15 bilion pergi kepada T20, kata beliau pada masa itu.
Sebabnya adalah mudah. Golongan atasan ini mempunyai lebih banyak kereta, kereta mereka mempunyai tangki lebih besar dan menggunakan lebih banyak bahan api.
Subsidi bersasar memang diperlukan, tetapi agak sukar untuk mendapat satu sistem yang boleh memberi manfaat kepada penerima yang sepatutnya dan universal.
Pada bulan Julai 2022, Tengku Zafrul menyatakan bahawa satu mekanisme untuk subsidi bersasar sedang diuji.
“Kerajaan ingin melaksanakan satu mekanisme subsidi bersasar yang kukuh dan tidak memberikan kesan buruk kepada rakyat,” kata beliau.
“Keutamaan kerajaan adalah sebarang mekanisme subsidi bersasar ini dapat memberi manfaat kepada semua.
Subsidi kita tetap akan laksanakan tetapi perlu memastikan sistem dan pelaksanaannya adalah tepat.
Ujian seperti ini memberikan hasil tepat kepada kerajaan bagi menentukan tahap penggunaan rakyat.
Ini kerana setiap pengguna bahan api adalah berbeza antara luar bandar dan bandar. Sub-segmen subsidi ini perlu diperhalusi,” kata Zafrul.
Kita masih perlu menunggu untuk perincian selebihnya, yang mungkin akan diumumkan sewaktu Bajet 2023.
Melihat kepada negara jiran, Indonesia, mereka juga sedang dalam dilema berkenaan subsidi bahan api. Dengan peruntukan subsidi yang telah berganda tiga kali, republik itu kini bercadang meningkatkan harga bahan api sehingga 30%.
Dengan situasi ekonomi negara yang pastinya turut terkesan dengan situasi ekonomi dunia yang diambang kemelesetan bermula tahun 2023 ini,pastinya mengapungkan harga RON95 mengikut harga pasaran dan mengagihkan subsidi minyak RON95 sebelum ini adalah pilihan terbaik yang boleh dilakukan oleh menteri kewangan merangkap perdana menteri ketika ini,DS Anwar Ibrahim.
Langkah ini akan membantu kerajaan menjimatkan perbelanjaan terhadap ketirisan subsidi tidak bersasar sebelum ini.