Bank Negara Malaysia (BNM) berkata rizab antarabangsanya berjumlah AS$110.9 bilion (RM497.38 bilion) setakat 15 Ogos.
Kedudukan rizab itu memadai untuk membiayai 5.5 bulan import barangan dan perkhidmatan, dan adalah 1.1 kali ganda jumlah hutang luar negeri jangka pendek, kata bank pusat itu dalam satu kenyataan pada Isnin (22 Ogos).
Ia berkata komponen utama rizab antarabangsa termasuk rizab mata wang asing, yang berjumlah AS$98.5 bilion, rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada AS$1.3 bilion, dan hak pengeluaran khas berkaitan IMF bernilai AS$5.7 bilion.
Komponen lain ialah emas bernilai AS$2.3 bilion dan aset rizab lain bernilai AS$3.1 bilion.