Polis menyerbu unit kediaman berdekatan Bukit Jalil, di sini, dan menahan lima ahli sindiket penipuan e-wallet cryptocurrency (mata wang kripto) semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, bertindak atas maklumat sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras membuat serbuan 12.10 tengah hari.
Menurutnya, dua lelaki dan dua wanita serta seorang wanita warga asing berusia dalam 29 tahun hingga 41 tahun ditahan.
“Polis merampas dua unit komputer riba pelbagai jenama, 65 unit telefon bimbit pelbagai jenama, satu pemprosesan pusat (CPU) dan dua modem yang disyaki digunakan untuk kegiatan penipuan mengurus e-wallet cryptocurrency milik pelanggan warga tempatan secara atas talian.
“Sindiket ini dipercayai terbabit dengan kegiatan menguruskan e-wallet, mengajar dan memanipulasi pelanggan dalam transaksi jual beli saham cryptocurrency sejak November 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Idzam berkata, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Kesemua tangkapan ditahan reman dua hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut,” katanya.