Sejak perkenalan eTunai Rakyat tahun lalu , makin ramai rakyat Malaysia yang makin sedar tentang peranan dunia digital di dalam aspek kewangan. Begitu juga dengan industri bank. Adakah trend ini sesuatu yang patut kita geruni atau kita terima dalam kehidupan seharian?
Apa itu Perbankan Digital?
Inisiatif servis kewangan dan teknologi kewangan (Fintech) disokong oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Perbankan digital membolehkan produk dan servis dipasarkan dengan lebih mudah secara menyeluruh ke pelusuk negara. Ia termasuk khidmat perbankan kepada industri mikro, kecil dan sederhana.
Perbezaan dengan khidmat bank tradisional adalah ia tidak memerlukan pembukaan sebarang pusat jualan fizikal. Bank digital masih memerlukan pendaftaran pejabat di Malaysia (untuk membolehkan layanan pelanggan dilakukan). Bank digital boleh menyertai dan mengambil bahagian dalam Rangkaian Perkongsian ATM (Shared ATM Network), servis pengeluaran wang melalui PayNet dan servis kewangan melalui ejen.
Bank digital akan menawarkan servis seperti bank tradisional seperti deposit wang, pengeluaran, pemindahan, pemeriksaan akaun dalam talian dan akaun simpanan. Servis yang ditawarkan dalam talian akan diintegrasi mengikut masa sebenar dan akan diautomasikan melalui analisis/teknologi untuk layanan pelanggan yang lebih bersifat individu secara pintar. Pelbagai servis akan ditawarkan melalui API dan akan mengandungi elemen Artificial Intelligence (AI).
Tidak lama lagi, Malaysia akan memiliki 5 lesen bank digital yang bakal diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada suku pertama 2022.
Namun masih ramai tidak ketahui fungsinya.
Bank digital sebenarnya memiliki fungsi yang hampir sama dengan bank tradisional atau fizikal. Di mana, mereka akan menawarkan perkhidmatan seperti simpanan kewangan, pengeluaran, pemindahan, bahagian deposit, dan megetahui aliran data transaksi.
Apa yang membezakan ia adalah penerapan teknologi seperti sistem kecerdasan buatan (AI) dan penggunaan pelbagai API akan dilaksanakan bagi setiap penawaran perkhidmatan kewangan yang dijalankan pada bank digital tersebut.
Antara perkara yang menguntungkan menerusi pelaksanaan bank digital ini adalah – ia membantu kumpulan yang sering dinafikan hak pinjaman mereka dan membantu perniagaan berskala kecil. Usaha ini secara tidak langsung dapat merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi negara dan meningkatkan semula keyakinan pemain industri pada pembangunan negara.
Pastinya dengan penerapan teknologi ini – ia akan lebih memudahkan pihak perbankan digital mengenalpasti trafik dan minat kewangan yang ada pada pengguna – kerana ia lebih mudah untuk menarik pelanggan mereka.
Selain itu, dengan adanya bank digital – sistem dokumentasi sebelum ini tidak lagi akan menghantui para pelanggan – ia kerana setiap urusan kewangan selepas ini akan menjadi lebih lancar iaitu secara maya dan sudah semestinya menjimatkan kos.
Bagaimanapun, setiap penerapan baharu dalam sesebuah perkhidmatan – sudah pasti akan memiliki risikonya tersendiri. Kadar hutang isi rumah negara dijangka akan lebih meningkat. Ini kerana bebanan komitmen akan meningkat apabila apabila permintaan pinjaman terus meningkat.
Untuk makluman, sebelum ini nisbah hutang isi rumah KDNK Malaysia paling tertinggi pernah dicapai adalah pada kadar 87.5% dan itu menjadi faktor utama kepada kadar muflis di negara kita.
Malah, aspek risiko trsebut akan turut dibebani dengan kadar pengangguran negara yang semakin meningkat iaitu pada 4.6%.
Meskipun, itu adalah fakta risiko yang perlu kita perhatikan – bagi 5 lesen bank digital yang bakal diberikan ini perlu memenuhi kriteria BNM iaitu bank negara telah menetapkan nilai ambang penetapan had aset yang tidak boleh melebihi RM3 bilion untuk tempoh tiga hingga lima tahun operasi.
Tindakan itu akan memastikan bank digital yang terlibat dapat membuktikan operasi mereka kekal dibawah etika Dokumen Dasar Rangka Kerja Pelesenan Bank Digital (Dokumen Dasar).
Malaysia akan mengeluarkan sebanyak 5 lesen untuk perbankan digital secara berperingkat dan dijangka beroperasi pada awal tahun 2020. Bank yang berwawasan tinggi dan juga pihak industri fintech dijangka akan bekerjasama untuk mendapatkan lesen dari BNM.
Undang-undang Untuk Perbankan Digital di Malaysia
BNM telah mengeluarkan draf pendedahan pada 27 Disember, 2019 di mana maklum balas kepada BNM perlu dibuat pada 28 Februari, 2020. Pada peringkat awal, bank digital perlu patuh pada syarat awalan sebagai batu loncatan kepada sistem yang lebih kompleks. Bank digital perlu menunjukkan bukti bahawa mereka beroperasi secara beretika dan boleh menampung operasi mereka sendiri. Ini termasuk bukti dalam nilai aset yang melebihi RM 2 billion dalam peringkat awal operasi (3 hingga 5 tahun).
Bank berlesen dapat memohon lesen bank digital menggunakan entiti yang berbeza. Khidmat ini berbeza dengan bank berlesen yang telahpun men-“digital”-kan operasi mereka sekarang.
Aplikasi bank digital perlu patuh kepada syarat berikut:-
- Pengurusan risiko yang menyeluruh dan kemampuan mematuhi undang-undang
- Mengaplikasikan teknologi yang boleh mengubah dan menaiktaraf servis kewangan termasuk penggunaan scalable dan agile tech stack.
- Akses kepada khidmat analisis pelanggan yang mendalam
- Menunjukkan kekuatan kewangan secara berterusan
- Mempunyai kepakaran dalam kewangan Shariah (untuk bank digital Islamik)
Pelan keluar juga perlu ditunjukkan dalam 5 tahun operasi termasuk tanda-tanda yang berpotensi, pilihan korporat, potensi kekurangan wang dan sumber dana serta kecairan aset.
Selepas 5 tahun beroperasi, bank digital juga perlu mematuhi undang-undang yang dibuat terhadap bank berlesen dan perlu mempunyai dana kapital sebanyak RM 300 juta.
Potensi Impak Perbankan Digital
Perbankan digital berkhidmat untuk memberi servis perbankan kepada sektor di mana bank tradisional kurang memberi perhatian seperti golongan “tidak layak”, kurang dikhidmat serta industri kecil dan sederhana (IKS). Ini akan membantu komuniti dan syarikat yang kini mempunyai akses terhadap fasiliti bank. Secara langsung, ia akan dapat menjana ekonomi negara dan memberi impak positif terhadap negara. Bank digital juga mempunyai kelebihan dari segi kos yang akan menurunkan harga servis perbankan kepada pengguna.
Bank tradisional sedia ada telahpun menerima tamparan hebat selepas perkenalan teknologi dalam kewangan dan akan terus merudum jika mereka tidak menginovasi dan berubah untuk kesesuaian masa. Bank digital baru akan lebih beroperasi dengan lebih efektif. Contohnya, mereka tidak perlu menanggung beban cawangan fizikan yang tidak menguntungkan dan tersekat dalam infrastruktur/sistem yang lama. Bank tradisional akan mengadaptasi melalui kerjasama dengan bank digital yang lebih mesra IT. Bank tradisional juga mungkin akan lebih fokus terhadap servis utama yang menguntungkan yang tidak mampu dijalankan oleh bank digital seperti memberi servis kepada golongan yang lebih tua yang kurang celik IT.
Klien bank dapat memperoleh akses di mana-mana dan pada bila-bila masa. Layanan pelanggan juga dapat diautomasikan dan servis akan lebih menyeluruh mengikut kesesuaian individu. Tabiat pengguna dapat dianalisa dengan lebih mendalam dan disesuaikan mengikut permintaan. Walaupun penggunaan AI dan analisa bisnes masih lagi baharu, ianya amat penting bagi operasi bank digital.
Perbankan digital akan terus memberi impak yang besar kepada pengguna sedikit demi sedikit dan berpotensi untuk mempengaruhi industri bank di masa akan datang.
600 cawangan bank di Malaysia bakal ditutup dalam 10 tahun akan datang
Kira-kira 3,000 pekerja dijangka kehilangan pekerjaan jika hampir 600 cawangan bank di Malaysia ditutup dalam 10 tahun akan datang berikutan peralihan pelanggan kepada perbankan digital.
Syarikat perunding terkemuka Eropah, Roland Berger dalam kajian terkininya bertajuk ‘Branching out – The future of retail banking networks’ baru-baru ini menjangkakan hampir 600 cawangan perbankan runcit di Malaysia mungkin ditutup dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Menurut kajian itu, pengecilan operasi perbankan itu selaras dengan ledakan teknologi kewangan (fintech) yang menyaksikan pelanggan beralih kepada perkhidmatan digital.