Remaja 17 tahun antara 77 ahli sindiket penipuan pelaburan mata wang asing (Forex) ditahan dalam serbuan ke atas sebuah premis di Brickfields.
Sindiket penipuan dalam talian itu menggunakan laman sesawang untuk memperdaya mangsa bukan hanya dalam kalangan pelabur tempatan, tetapi juga di luar negara.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata serbuan semalam dijalankan pihaknya bersama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, dengan tangkapan keseluruhan 77 suspek.
Tangkapan membabitkan 38 lelaki dan 28 wanita tempatan, selain 11 warga asing termasuk enam wanita.
“Hasil serbuan, kita merampas 35 unit komputer, 20 telefon bimbit tujuh pasport, 38 pas pekerja serta masing-masing satu satu komputer riba, tablet, router dan modem.
“Semua suspek direman dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420/120 Kanun Keseksaan.
“Sebarang jenayah atau aktiviti yang mencurigakan sila hubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur03-21460584/0585,” katanya melalui kenyataan hari ini.