Adalah perkara yang pelik bila dilihat dari komen-komen netizen rakyat Malaysia di pelbagai media sosial yang membicarakan tentang ekonomi tetapi menafikan pelbagai data & fakta ekonomi dengan membuat tuduhan melulu bahawa Malaysia sedang menuju kebangkrapan.Malah bertambah pelik,ada yang seolah-olah suka pula jika negara ini bangkrap,seolah-olah itu yang mereka mahu dan memenuhi kehendak mereka .
Fakta yang sebenarnya,kedudukan fiskal negara ketika ini masih kukuh dan hutang kerajaan berada di tahap terkawal.Aspek penting dalam pengurusan hutang adalah kemampuan keberhutangan dan kemampanan hutang.
Hutang kerajaan Malaysia jelas masih terkawal berdasarkan beberapa faktor antaranya walaupun negara telah melalui beberapa siri krisis kemelesetan ekonomi dan kewangan sebelum ini, kerajaan Malaysia membuktikan reputasi dan kemampuan Malaysia sebagai penghutang yang mempunyai rekod bayaran balik yang baik,amat berdisiplin dan tidak pernah gagal membayar faedah serta hutang yang matang.
Pengurusan hutang secara berhemat juga diterapkan melalui undang-undang sedia ada.
Antara undang-undang sedia ada adalah Artikel 98(1)(b) Perlembagaan Persekutuan menetapkan supaya kerajaan sentiasa mengutamakan perbelanjaan berkaitan hutang berbanding perbelanjaan operasi yang lain.
Akta Pinjaman Luar Negeri 1963 memperuntukkan pinjaman luar pesisir tidak boleh melebihi RM35 bilion dengan data pada akhir Jun 2022 menunjukkan hutang ini berjumlah RM29.4 bilion.
Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) (Pindaan) 2021 pula menetapkan bahawa had statutori hutang kerajaan tidak boleh melebihi 65 peratus daripada KDNK.
Pada akhir Jun 2022, hutang statutori mencatat 60.4 peratus daripada KDNK.Manakala 97 peratus daripada jumlah hutang kerajaan adalah dalam denominasi ringgit.Pengurusan hutang berhemat ini bermakna pendedahan kepada risiko tukaran mata wang asing adalah minimum.
Laporan IMF juga turut mengakui bahawa ekonomi Malaysia adalah terurus ketika ini.Untuk melihat status terkini kewangan negara,rakyat Malaysia seharusnya melihat dari pelbagai sudut fakta dan data ekonomi,selanjutnya membuat perbandingan dengan negara-negara lain pula berdasarkan nisbah kepadatan penduduk,keluasan negara dan pelbagai data-data lain sebelum membuat sebarang kesimpulan.
Cakap-cakap kedai kopi atau pendapat peribadi mana-mana individu tidak boleh dijadikan petunjuk kerana pastinya ia demi keuntungan peribadi atau bermotifkan politik.
Dalam ketidak tentuan ekonomi global serta gelombang kemeselesetan ekonomi yang melanda dunia seperti sekarang,adalah lebih terhormat bagi seseorang yang menggelar dirinya seorang warganegara yang baik untuk membeli dan menyokong produk dan perkhidmatan tempatan,mengawal perbelanjaan dengan berhemah & tidak melancong ke luar negara bagi membantu menguatkan nilai matawang negara serta mengukuhkan kembali pertumbuhan ekonomi negara bukannya mulut pandai berkata-kata tetapi diri sendiri mendewa-dewakan barangan luar negara.
Paling tidak,doakanlah yang baik-baik untuk kesejahteraan negara tanah tumpah darah kita ini sendiri.