Kerajaan Britain berada di bawah tekanan pada Isnin (8 Ogos) untuk membentangkan perancangan serta-merta bagi membantu keluarga di UK menangani krisis kos sara hidup yang semakin meningkat.
Kumpulan perniagaan terkenal dan mantan perdana menteri menyatakan bahawa ketiadaan kepimpinan politik tidak boleh dibenarkan berlarutan.
Bank pusat United Kingdom (UK), Bank of England, memberi amaran pada Khamis (4 Ogos) bahawa kemelesetan yang berpanjangan berlaku ketika harga tenaga melonjak ke paras yang belum pernah disaksikan sebelum ini.
Hal itu mendorong kadar inflasi melambung ke tahap tertinggi dalam masa 40 tahun iaitu sebanyak 9.4 peratus pada Jun, sekali gus menyebabkan banyak isi rumah berada di ambang kesukaran ekonomi.
Mantan Perdana Menteri dari parti Buruh Gordon Brown dan Gabungan Industri British (CBI) menyatakan bahawa negara itu tidak mampu menunggu lebih lama lagi bagi mendapatkan seorang pemimpin baru. Mereka mengatakan tindakan mesti diambil segera sebelum harga tenaga melonjak sekali lagi kepada 70 peratus pada Oktober.
Brown, yang pernah memegang jawatan selaku menteri kewangan negara itu selama sepuluh tahun dari 1997 dan perdana menteri pada 2007 hingga 2010 semasa krisis kewangan, mengatakan bahawa banyak isi rumah kini berdepan dengan kesukaran ekonomi.
“Ambil tindakan minggu ini dan tangani pelbagai masalah ini yang boleh mencetuskan darurat negara,” beliau memberitahu LBC Radio.
“Anda tidak boleh tunggu sehingga krisis melanda pada Oktober dan kemudian mengatakan bahawa anda terkejut.”
Jurucakap Perdana Menteri Interim,Boris Johnson mengatakan ia terpulang kepada pemimpin Britain seterusnya untuk memutuskan jikalau sokongan selanjutnya diperlukan dan jikalau pemerintah sudah memperuntukkan pakej dana untuk membantu rakyat pada musim sejuk nanti.
Sumber : Agensi berita