Kadar inflasi negara yang diukur menerusi Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 3.4% pada Jun tahun ini, didorong oleh kenaikan harga makanan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.
Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks makanan meningkat sebanyak 6.1% dan kekal menjadi penyumbang utama kenaikan inflasi pada Jun 2022, dengan semua kumpulan lain kecuali komunikasi merekodkan kenaikan.
“Kesemua subkumpulan bagi makanan & minuman bukan alkohol menunjukkan peningkatan antara 2.8% hingga 11.9%, manakala komponen makanan di rumah dan makanan di luar rumah masing-masing meningkat 6.1% dan 6.6%, mendorong kepada kenaikan inflasi makanan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, antara makanan di luar rumah yang menunjukkan kenaikan adalah roti canai (10.5%), nasi berlauk (9.7%), masakan daging (7.8%) dan makanan berasaskan mi (7%).
“Ayam yang mempunyai wajaran terbesar dalam subkumpulan daging (46.1%) meningkat sebanyak 17.2% berbanding peningkatan 13.4% pada Mei.
“Purata harga ayam mentah pada Jun 2022 adalah sebanyak RM10.02 sekilogram berbanding RM8.55 pada Jun 2021.
![](http://54.251.66.43/wp-content/uploads/2022/07/FB_IMG_1658497122368.jpg)
“Peningkatan harga ayam ini adalah selari dengan kenaikan input pengeluaran makanan dunia seperti jagung (14.8%), gandum (60.9%) dan kacang soya (19.9%) yang merupakan komposisi terbesar penyediaan dedak ayam,” katanya.
Kumpulan pengangkutan turut mencatatkan kenaikan 5.2% diikuti restoran dan hotel (5%); hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (3.4%); pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.2%); serta perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (2.2%).
Uzir berkata, peningkatan dalam kumpulan pengangkutan terutamanya disebabkan oleh peningkatan purata harga petrol tanpa plumbum RON97 sebanyak 80% (RM4.7 seliter) berbanding RM2.65 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Inflasi meningkat 0.6% berbanding Mei 2022 dan peningkatan itu disumbangkan terutamanya oleh pengangkutan, serta restoran dan hotel yang mana kedua-duanya meningkat kepada 1.3%, diikuti oleh makanan dan minuman bukan alkohol (1.2%).
Mengulas tentang inflasi di peringkat negeri pula, beliau menjelaskan peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Putrajaya (8.1%), diikuti Labuan dan Melaka yang merekodkan peningkatan paling rendah, masing-masing sebanyak 2.5%.
Peningkatan tertinggi inflasi makanan dan minuman bukan alkohol di peringkat negeri pula dicatatkan oleh Putrajaya (8.2%), diikuti Selangor (7.5%), Johor (7.3%), Pulau Pinang (6.8%) dan Perlis (6.1%).
Peningkatan bagi kumpulan ini terutamanya adalah disebabkan oleh kenaikan harga daging dan sayur-sayuran pada Jun 2022 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.-AGENSI