Indonesia menyekat platform Yahoo, firma bayaran Paypal dan beberapa laman permainan kerana gagal mematuhi peraturan pelesenan, kata seorang pegawai pada Sabtu (30 Jul), mencetuskan tindak balas di media sosial.
Pendaftaran diperlukan di bawah peraturan yang dikeluarkan pada hujung November 2020, untuk memberi kuasa kepada pihak berkuasa bagi memaksa penyedia platform mendedahkan data pengguna tertentu serta mengeluarkan kandungan yang dianggap menyalahi undang-undang atau ‘mengganggu ketenteraman awam’ dalam tempoh empat jam, jika mendesak, dan 24 jam, jika tidak.
Beberapa syarikat teknologi bergegas untuk mendaftar, beberapa hari sebelum tarikh akhir yang dilanjutkan sehingga Jumaat (29 Jul), termasuk Alphabet, Facebook, Instagram, WhatsApp dan Amazon.com.
Pegawai kanan di Kementerian Komunikasi Indonesia, Semuel Abrijani Pangerapan, berkata Yahoo, Paypal dan laman permainan seperti Steam, Dota2, Counter-Strike dan EpicGames sudah disekat.
Tanda pagar atau ‘hashtag’ seperti ‘BlokirKominfo’ (sekat Kementerian Komunikasi), Epic Games dan Paypal tular di Twitter Indonesia dengan banyak mesej bertulis, mengkritik langkah pemerintah sebagai menjejaskan industri permainan online dan pekerja ‘freelance’ yang menggunakan Paypal.
Indonesia ialah pasaran penting untuk pelbagai platform teknologi dengan anggaran 191 juta pengguna Internet dan golongan muda mahir media sosial.
Sumber : Agensi