Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memutuskan harga kawalan siling ayam, telur ayam dan subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasan botol tidak akan diteruskan mulai 1 Julai ini.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, harga barangan itu dijangka akan meningkat dan akan ditentukan oleh pasaran.
Beliau berkata, tindakan itu dibuat bagi memastikan bekalan bahan makanan dan harga dalam pasaran akan lebih stabil dalam tempoh jangka panjang.
“Kami jangka harga siling ayam akan naik selepas 30 Jun ini berbanding RM8.90 sekilogram ketika ini tetapi pihak industri telah memberi jaminan harganya tidak akan naik terlalu mendadak.
“Saya dimaklumkan oleh pihak industri bahawa harga siling ayam sekilogram akan berlegar sekitar RM10 sekilogram. Saya tidak berani sahkan berapa harganya nanti kerana bila harga kawalan ditarik, harga akan diapungkan ikut pasaran.
“Bagaimanapun, kami bagi jaminan kenaikan harga ayam tidak akan naik mendadak tapi jika ia berlaku, kami akan pantau dan gunakan peraturan sedia ada,” katanya pada sidang akhbar selepas sesi libat urus bersama pemain industri di sini, hari ini.
Katanya, sebelum ini, kerajaan telah mengawal harga siling ayam dan telur ayan bagi membantu meringankan kenaikan harga barangan namun, tindakan itu menyebabkan herotan pasaran dan harga.
Dalam pada itu, Alexander berkata, kerajaan masih meneruskan subsidi minyak masak polibeg pada harga RM2.50 sekilogram untuk semua pengguna di seluruh negara.
Bagaimanapun, katanya, subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasab botol 2kg, 3kg dan 5kg tidak akan diteruskan mulai 1 Julai ini dan ia akan ditentukan oleh harga minyak sawit mentah dunia. – KOSMO! ONLINE