Zarul Ahmad Mohd Zulkifli memberi keterangan bahawa Lim Guan Eng tersenyum apabila pengarah eksekutif kanan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd menyerahkan wang rasuah RM100,000 kepada ketua menteri Pulau Pinang itu pada 2013.
Saksi pendakwaan ke-23 mendakwa tertuduh juga kelihatan gembira apabila dia menerima RM100,000 lagi sebagai rasuah pada 2014.
Zarul memberi keterangan semasa perbicaraan rasuah hari ini terhadap Lim yang juga adalah bekas menteri kewangan berhubung projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang.
Semasa pemeriksaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, saksi itu mendakwa bayaran berkenaan dikaitkan dengan Lim yang kononnya meminta keuntungan 10 peratus sebagai balasan projek tersebut dianugerahkan kepada syarikatnya itu secara rundingan terus.
Zarul, 62 yang adalah pengarah di Zenith mendakwa kedua-dua sogokan itu itu dilakukan dengan dirinya menyerahkan wang berkenaan dalam sampul yang tertutup kepada Lim di pejabat ketua menteri di Komtar, Georgetown, Pulau Pinang.
Semasa perbicaraan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 17 Dis tahun lalu, Zarul memberi keterangan dia “terkejut” apabila Lim didakwa meminta 10 peratus keuntungan masa depan daripada projek itu.
Saksi itu mendakwa tertuduh meminta wang tersebut daripadanya ketika mereka berdua berada di dalam sebuah kereta di Kuala Lumpur pada malam Mac 2011. – MKINI