Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadli Shamsuddin berkata, pelantikan itu dibuat Al-Sultan Abdullah selepas memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu.
“Pada sesi perbincangan khas berlangsung bermula 11 pagi tadi, baginda berkenan mewasalkan kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu proses perlantikan Perdana Menteri baharu susulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November lalu.
“Perbincangan khas itu adalah juga bertujuan bagi baginda mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu untuk membolehkan baginda membuat keputusan terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat.
“Proses itu adalah bagi membolehkan baginda membuat keputusan melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 40(1)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, proses seterusnya adalah Istiadat Pengurniaan Suratcara Perlantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan berlangsung 5 petang ini di Istana Negara.
“Baginda mengingatkan kepada semua pihak bahawa yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua.
“Justeru, bagaikan biduk lalu, kiambang bertaut, hulurkan tangan antara satu dengan yang lain bagi merapatkan semula saf antara semua ahli-ahli Dewan Rakyat demi masa depan negara tercinta,” katanya.
Katanya, baginda juga menegaskan bahawa negara ini umpama harta pusaka dengan pemimpin adalah pemegang amanahnya yang perlu dijaga kerana bakal diwarisi generasi muda yang akan membawa negara terus ke mercu kejayaan.
“Baginda turut berpesan kepada Perdana Menteri dan kerajaan baharu yang bakal dibentuk untuk mengambil resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.
“Hakikatnya, rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tiada kesudahan tatkala negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk merancakkan landskap ekonomi dan pembangunan negara,” katanya.
Menurutnya, ahli-ahli Dewan Rakyat yang sudah dipilih oleh rakyat turut diingatkan supaya mempamerkan solidariti dengan memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Baginda turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas sokongan berterusan Raja-Raja Melayu dalam menyempurnakan tanggungjawab baginda selaku Raja Berpelembagaan yang berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan keluhuran undang-undang.
“Raja-Raja Melayu turut menyokong pendirian baginda bagi pembentukan kerajaan yang stabil secepat mungkin berikutan PRU-15 menerusi proses penuh cermat dan teliti serta pemerhatian yang mendalam.
“Baginda memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT dan menyeru rakyat supaya terus beristiqomah serta bertenang dan bersama mendoakan agar negara sentiasa diberkati, dirahmati dan di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi sebarang bencana dan musibah,” katanya.
Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri ke-10 berlangsung di Dewan Singgahsana Kecil, Istana Negara, di sini, pada jam 5.06 petang.
Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Istiadat angkat sumpah berkenaan diadakan selepas Seri Paduka memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu yang berkenan berangkat menghadiri Perbincangan Khas Raja-raja Melayu di Istana Negara pagi tadi bagi membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat, lima hari selepas keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Turut berangkat ke istiadat berkenaan adalah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Anwar, 75, yang berbaju Melayu hitam lengkap bersamping warna keemasan diiringi isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.
Presiden PKR itu mencipta rekod dengan menamatkan penantian 24 tahun untuk bergelar Perdana Menteri .
Sejurus mengangkat sumpah, Anwar menandatangani beberapa dokumen berkaitan sebelum upacara itu diakhiri dengan bacaan doa dipimpin Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah.
Upacara disaksikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Yang turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani; Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.
Anwar yang memenangi kerusi Parlimen Tambun memperoleh 49,625 undi dengan majoriti sebanyak 3,736 undi.
Beliau menewaskan pencabar utama, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Timbalan Presiden BERSATU.
Ahmad Faizal selaku penyandang kerusi memperoleh 45,889 undi sementara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Aminuddin Md Hanafiah mendapat undian sebanyak 28,140 dan calon PEJUANG, Abdul Rahim Tahir sebanyak 1,115 undi.
PRU15 pada 19 November menyaksikan PH memperoleh 82 kerusi; PN 73 kerusi; BN (30); GPS (23); Gabungan Rakyat Sabah (enam); Warisan (tiga); Bebas (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi.