AirAsia Group Bhd (AAGB) secara rasmi ditukar kepada Capital A Berhad (Capital A atau Kumpulan) berkuat kuasa serta-merta hari ini (28 Jan).
Ia selepas kejayaan pendaftaran nama tersebut di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang diumumkan pada 3 Januari lalu, dan kelulusan rasmi sudah pun diterima semalam (27 Jan).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Tony Fernandes, pertukaran nama kepada Capital A tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas operasi syarikat.
Jelas beliau lagi, pertukaran nama tersebut mencerminkan strategi perniagaan teras baru bagi Kumpulan itu sebagai sebuah syarikat pegangan pelaburan dengan portfolio perniagaan perjalanan dan gaya hidup, yang pantas mengubah jenama AirAsia menjadi lebih daripada sekadar sebuah syarikat penerbangan.
Encik Fernandes berkata demikian pada majlis pengumuman pertukaran nama syarikat penerbangan itu di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau menambah, melalui nama baru itu, ia akan meningkatkan lagi kebolehpasaran produk syarikat dan meningkatkan kejayaan kumpulan untuk masa depan.
Menjelang tahun 2026, Capital A antaranya menyasarkan untuk mencapai syarikat penerbangan menghubungkan lebih satu bilion orang di ASEAN.
Sebelum ini, dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata cadangan nama Capital A Bhd diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan dikhaskan kepada syarikat itu pada 28 Disember 2021.