Kebelakangan ini,dengan suasana ekonomi yang semakin tenat.Sekatan pergerakkan dan terputusnya rantaian bekalan dan perkhidmatan pasca pandemik COVID 19,scammer atau sindiket penipuan pelaburan kembali aktif dengan pelbagai produk pelaburan baru untuk menjerat mangsa.Antara skim yang popular ialah penipuan pelaburan emas.Scammer ini akan tampil dengan pelbagai wajah termasuk dengan status yang menjadi kepercayaan orang ramai seperti Profesor,Ustaz,Doktor,Individu begelar Dato’ dan lain-lain untuk mengaburi bakal mangsa.
Skim yang diperkenalkan juga kini semakin ‘advanced’ dengan dakwaan sebagai instrumen patuh syariah,skim yang diperakui Bank Negara dan sebagainya.Anda wajar baca artikel ini dulu sebelum membuat keputusan samaada ingin meneruskan niat anda atau melakukan kajian selanjutnya.Tidak rugi anda membacanya,elakkan ditipu bulat-bulat oleh penipu bertopengkan agama.
JERAT PENIPUAN SKIM CEPAT KAYA
Contoh bagaimana kita tertipu dengan skim cepat kaya..ilmu ini perlu kita tahu..agar ianya tidak berlaku untuk kedua kalinya atau terjebak dengan para suspek penipuan mana-mana skim cepat kaya…
Contohnya..
- Saya mempunyai modal cash sebanyak RM100,000. Saya buka satu syarikat/skim yang ada tawar 3 pakej pelaburan kepada orang ramai:
A. Gold – RM400
B. Platinium – RM4,000
C. Diamond – RM40,000 - Untuk early stage bukan mudah untuk menarik pelabur, stage pertama adalah strategy untuk menjadi ‘trusted’. Pada permulaan ramai orang ragu-ragu dan takut ditipu tapi nak tahu. Kebanyakan orang ramai yang suka mencuba akan letakkan pakej yang paling minima iaitu Gold – RM400. Pakej Gold ini dijanjikan akan dibayar RM100 sebulan selama 3 bulan, dan pelaburan ini akan matang pada bulan ke-4, dan mereka mempunyai pilihan untuk mendapat RM800 (keuntungan) dan pakej akan segera ditamatkan. Contohnya 1000 orang masuk, total collection yang saya dapat adalah sebanyak RM400,000. Duit ini cukup digunakan untuk membayar habuan bulanan pelabur selama 4 bulan. Duit modal Saya RM100,000 digunakan untuk membayar sebahagian kecil mereka yang stop pada bulan ke 4. Kalau 100 orang stop saya kena keluar RM800 x 100 = RM80,000. Apa ada hal keluar sikit modal saya, janji saya dapatkan trusted mereka. Tengok nanti bagaimana saya ‘makan’ duit mereka balik.
- Psikologi emosi dimainkan waktu ini dimana pelabur akan menjadi tamak sebab dengan hanya menunggu lagi 5 bulan mereka akan mendapat RM3600 disamping RM100 bulanan. Kebanyakan mereka tidak akan stop pada bulan ke 4 tersebut kerana mereka menanti habuan yang lebih lumayan di hadapan. Maka mereka mengambil pilihan teruskan habuan bulanan RM100.
- Pada bulan keempat tersebut pelabur-pelabur sudah termakan ‘trusted’ dengan dana tersebut disamping sebahagian kecil yang stop dan dapat RM800 tersebut menjadi bukti kononnya skim itu adalah sangat-sangat ‘trusted’.
- Waktu ini kepercayaan terhadap skim ini akan menebal. Maka berbondong-bondonglah diajak keluarga, rakan office, sahabat handai, orang kampung melabur bersama kerana taksub dengan keyakinan tersebut. Diajak joint venture, kumpul modal ramai-ramai dan melabur.
- Make it short. Contoh 1000 orang tadi yang sangat yakin dan dipukau dengan ‘Trusted Scheme’ upgrade kepada pakej Diamond – RM40,000. Duit tu mungkin dari joint venture, kumpul duit orang, personal loan, jual harta, pinjam ‘Along’. RM40,000 x 1000 = RM40,000,000.
- Senangnya saya nak dapatkan RM40,000,000 (Rm40 juta!) dengan hanya membayar nilai lakonan ‘Trusted’. Bila dah dapat duit, masa ni saya dah boleh istihar macam-macam kepada pelabur-pelabur saya. Paling senang kena rompak, kena tipu atau pecah amanah (tuduh jer sesiapa dalam syarikat dan jadikan kambing hitam). Dan saya tak mampu pulangkan modal pelaburan tersebut kepada pelabur pelabur. Untuk meredakan amarah pelabur saya, saya minta tempoh 6 bulan untuk selesaikan & recovery, cukup 6 bulan Saya minta extent Lagi 6 bulan. Lama-lama mereka putus harap dan pasrah duit mereka telah hangus (disini saya akan mainkan sentimen agama sikit seperti rezeki itu Allah yang tentukan). Mereka akan lupa hari demi hari.
Jika anda rasa penulisan ini memberi kesedaran dan manfaat kepada anda, haruslah di “kongsikan” bersama orang lain agar ianya tersebar luas dan dapat manfaat bersama.
CARA MENGENALI SKIM CEPAT KAYA
Cara mengenali skim cepat kaya, ciri skim pelaburan palsu, panduan kenal pelaburan haram atau skim ponzi di Malaysia dan tips elak di tipu dalam pelaburan.
Skim cepat kaya mendapat sambutan hangat sekitar 2010 hingga kini dengan cara yang berbeza mengikut kehangatan ekonomi sesuatu zaman. Tahun 2012 ketika harga emas mula memuncak, maka muncul skim pelaburan emas berasaskan emas dan tahun 2013 apabila pasaran saham mula meningkat muncul pula skim saham dan bila pasaran saham sendu muncul pula skim forex yang menawarkan pelbagai pulangan yang menguntungkan. Ketika kerajaan mempromosi bidang pertanian dan penternakan, maka muncul pula skim cepat kaya berasaskan penternakan seperti ikan keli, ikan arowana, lintah, penternakan burung unta dan sebagainya. Apakah skim cepat kaya dan bagaimana mengenali skim cepat kaya atau skim pelaburan penipuan ini ? Sebenarnya, mudah untuk mengenali skim cepat kaya, hanya dengan satu perkataan iaitu “Luar Biasa”. Modus operandinya skim palaburan palsu ini adalah sama iaitu luarbiasa menawarkan pulangan yang tinggi tanpa risiko, luar biasa menjana keuntungan tambahan apabila berjaya mendapatkan orang bawah atau downline yang baru dan tidak memiliki produk atau bertopengkan sesuatu produk.
Minggu lepas, saya dihubungi adik yang mahu menceburi pelaburan emas yang menjanjikan pendapatan tetap bulanan. Katanya, pelaburan emas dengan membeli emas (tetapi tidak diberikan emas) atau memberikan emas fizikal kita untuk di laburkan dan mendapat pulangan bulanan yang tetap. Saya melarang kerana pelaburan tersebut menunjukkan ciri skim pelaburan emas iaitu pulangan keuntungan yang luarbiasa tinggi dengan pendapatan bulanan yang tetap. Ini adalah teknik pemusingan wang modal kita sendiri, contohnya kita memberikan modal RM100 dan syarikat skim pelaburan akan memberikan pulangan tetap RM10 sebulan dengan menjanjikan pulangan pendapatan sehingga 24 bulan (2 tahun). Perjanjian di atas kertas memang luar biasa keuntungannya sehingga 140%. Tapi, adakah syarikat skim pelaburan palsu ini boleh bertahan sehingga 2 tahun ? Silap-silap sebelum kita dapat modal, syarikat ini sudah berkubur. Sekarang sudah banyak syarikat skim pelaburan emas yang bergiat aktif dan ada juga yang telah di bekukan oleh BNM.
Cara mengenali skim cepat kaya dan ciri skim pelaburan palsu :
1. Menawarkan pulangan tinggi tanpa sebarang risiko. Pulangan pelaburan skim pelaburan ponzi boleh mencecah 10% sebulan ataupun hingga 200% setahun. Pulangan tinggi skim cepat kaya adalah luar biasa tinggi melebihi Amanah Saham Bank Rakyat atau pasaran saham indeks bursa malaysia. Pulangan tinggi ini akan disertakan dengan perjanjian tanpa risiko yang menyakinkan pelabur melalui kenalan pelabur dan sebagainya. Pulangan besar juga hanya diperolehi dalam bentuk nombor atau mata wang tertentu yang susah, bersyarat atau tidak dapat di tukar kepada mata wang Malaysia.
2. Ditawarkan komisyen yang tinggi apabila membawa rakan atau ahli keluarga untuk melabur. Pemberian komisen adalah perkara biasa kepada agen, konsultan, perunding pelaburan, referral dan sebagainya tetapi skim pelaburan ponzi akan menjanjikan komisen atau insentif yang lebih tinggi. Setiap kemasukan orang baru akan diberikan intensif, bonus atau pairing kepada orang yang memperkenalkan orang baru tadi. Ia akan berlanjutan dan berantai dari satu peringkat ke satu peringkat atau dikenali sebagai skim piramid. Skim penipuan ponzi selalunya berfungsi mengikut sistem piramid, wang yang diterima dari ahli baru akan digunakan untuk membayar ahli sedia ada, apabila tiada ahli baru skim ponzi akan tutup atau sengaja di tutup oleh tuan punya skim tersebut setelah mencapai target kuntungan yang dikehendaki .
3. Menjanjikan pulangan tetap secara mingguan atau bulanan dalam tempoh tertentu. Pendapatan tetap ini diberi berdasarkan jumlah pelaburan, lagi besar modal yang dilaburkan, lagi besar pulangan tetap bulanan tetapi mesti kurang dari modal pelaburan. Pelaburan yang menjanjikan pulangan yang tetap adalah riba dan skim cepat kaya. Ini kerana pelaburan di dalam Islam, tidak boleh dijamin keuntungannya. Samada, Mudharabah atau wakalah, mudharib dan wakil tak boleh memberi jaminan modal dan juga keuntungan.
4. Pelaburan tanpa produk atau produk bernilai lebih atau terlalu murah. Dalam pelaburan emas fizikal, skim pelaburan emas palsu tidak memberikan produk emas semasa proses beli emas, hanya memberikan surat perjanjian atau kontrak pelaburan atau memberikan produk tetapi di pulangkan kepada syarikat untuk disimpan. Syarikat hanya memusing produk fizikal ini untuk ditunjukkan kepada pelabur lain pula. Skim pelaburan ponzi juga menjual produk pada harga yang luarbiasa sama ada harga terlalu tinggi atau terlalu rendah. Contohnya, jongkong emas 100g di jual dengan harga terlalu rendah seperti RM8000, tapi mesti bayar dahulu dan jongkong emas tertangguh atau di beri kemudian. Kali pertama membeli emas, mungkin akan dapat emas anda tapi kali kedua…mungkin hanya dapat resit sahaja. Urusniaga yang luarbiasa seperti pembelian yang terlalu tinggi atau terlalu rendah atau urusniaga bersyarat, itu adalah ciri skim pelaburan tipu. Contoh pembelian emas bersyarat seperti pembelian emas dengan membayar sebahagian harga dengan syarat memajakkan emas itu di arrahnu dan wang pinjaman arrahnu di berikan kepada syarikat.
5. Menyakinkan pelabur dengan berlagak kaya, dokumen yang lengkap, di daftarkan antarabangsa dan syarikat yang berdaftar tetapi perniagaan mereka tidak dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Sudah menjadi suatu kelaziman dari dahulu, skim cepat kaya akan menarik pelabur melalui promosi lagak kaya dan menunjuk-nunjuk barangan mewah untuk menarik pelabur. Pelabur akan mudah terpedaya, terutama pelabur muda apabila di tunjukkan kejayaan mendapat barang mewah seperti kereta sport dan sebagainya dengan mudah. Agen skim cepat kaya biasanya akan mempromosikan pulangan lumayan yang mudah dah berahsia.
Skim cepat kaya sememangnya akan memberi kekayaan kepada pencipta/owner skim dan agen yang terawal tetapi memberi kesengsaraan kepada pelabur di bawah. Oleh itu jangan mudah terpengaruh dengan janji manis, sekalipun ianya daripada sahabat atau saudara mara. Mungkin mereka ikhlas untuk menawarkan kita peluang, tapi sebenarnya mungkin mereka sendiri tidak sedar diri mereka sudah tertipu atau mungkin terpengaruh dengan pulangan komisen atau insentif downline yang menarik. Jangan terburu-buru dengan ayat ‘peluang terbaik’, ‘tawaran terhad’ ‘anda bertuah’ dan sebagainya tetapi perlu fikir dahulu sebelum bertindak. Jika anda di beri tawaran yang luar biasa adalah lebih baik berfikir dan berbincang dan menyelidiki sebelum mengambil apa-apa tindakan terutama semak senarai syarikat pelaburan yang tidak mendapat kelulusan Bank Negara Malaysia.
Setelah anda mengetahui ciri-ciri skim cepat kaya, perkara seterusnya adalah menyemak sesuatu syarikat pelaburan sah atau tidak serta samaada mereka telah mendapat kelulusan Bank Negara Malaysia. Sila klik http://www.sc.com.my/investor-alert. sebelum anda membuat apa-apa pelaburan emas.
SC telah mengingatkan para pelabur agar sentiasa berhati-hati ketika menilai peluang pelaburan, terutamanya yang menjanjikan pulangan yang sangat tinggi degan sedikit atau tanpa risiko. Pelabur juga disarankan agar mendapatkan bimbingan penasihat berlesen yang sah. Pelabur digesa untuk mengesahkan status individu atau syarikat yang menawarkan peluang pelaburan melalui laman web SC di:
–www.sc.com.my/regulation/licensing/licensed-and-registered-persons; dan
– www.sc.com.my/development/digital/list-of-registered-recognized-market-operators.