Menjelang tarikh akhir untuk permohonan lesen bank digital di Malaysia akan ditutup pada penghujung bulan ini oleh Bank Negara Malaysia, membuatkan ramai pihak dalam persiapan terakhir untuk menghantar bidaan mereka bagi mendapatkan lesen bank digital.
Setakat ini, Axiata dan RHB sedia mengumumkan langkah untuk memohon lesen bank digital ini, sementara sejumlah syarikat lain turut dilaporkan akan membidanya. Antara nama yang diperkatakan turut menyatakan hasrat mereka adalah termasuk Grab, AirAsia, Razer, dan terbaru,Petronas turut dilaporkan ingin memohon lesen bank digital.
Selain itu, YTL Corp, Genting, dan juga Sunway Bhd juga diperkatakan turut ingin memohon lesen bank digital ini. YTL sedia melakukan pelaburan tinggi dalam arena digital melalui YES, sementara Genting dan Sunway turut dilihat akan mula memfokuskan pelaburan di arena digital.
Bank digital akan membolehkan pengguna membuat permohonan akaun baru terus menggunakan aplikasi mudah-alih, berbeza dengan situasi hari ini dimana pemohon perlu hadir ke cawangan bank untuk membuka akaun. Disamping itu, ia juga dijangka menawarkan sejumlah perkhidmatan kewangan termasuk seperti pinjaman,pelaburan,tukaran wang dan sebagainya.
Dengan perkembangan arena digital, pelbagai pihak bersaing untuk menawarkan perkhidmatan dalam arena kewangan. Hal ini membuatkan ramai yang bersaing mendapatkan lesen bank digital apatah lagi Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan kenyataan bahawa hanya lima lesen yang akan dikeluarkan pada tahun 2022 nanti.
Kita nantikan di tahun 2022 nanti,siapakah 5 pihak yang akan memperolehi lesen bank digital Malaysia ini nanti,sekaligus membawa revolusi baru dalam dunia perbankkan di negara kita.