Muflis atau bankrap didefinisikan sebagai kegagalan individu dalam melunaskan sejumlah besar hutang mereka – dan ternyata Malaysia data bagi 2018 sehingga Mei 2022 memiliki sekitar 46,132 individu yang telah diklasifikasikan bankrap.
Tinjauan Jabatan Insolvensi Malaysia itu turut memaparkan sebahagian besar iaitu 41.91% daripada jumlah tersebut adalah individu yang bankrap disebabkan kegagalan membayar Pinjaman Peribadi. Ini bermakna sekitar 19,334 individu gagal melunaskan hutang kategori tersebut.
Ia secara jelas, terus menjadikan kategori Pinjaman Peribadi selaku peneraju kepada kadar muflis negara. Tidak hanya kategori tersebut – ini senarai jumlah bankrap mengikut kategori lain setakat Mei 2022;
- Sewabeli Kenderaan – 6,843 individu bankrap (14.83%)
- Pinjaman Perniagaan – 6,242 individu bankrap (13.53%)
- Pinjaman Perumahan – 4,421 individu bankrap (9.58%)
- Hutang Kad Kredit – 3,850 individu bankrap (8.35%)
- Keberhutangan Yang Lain – 2,504 individu bankrap (5.43%)
- Penjamin Korporat – 1,146 individu bankrap (2.48%)
- Hutang Cukai Pendapatan – 913 indvidu bankrap (1.98%)
- Penjamin Sosial – 557 individu bankrap (1.21%)
- Caruman KWSP – 249 individu bankrap (0.54%)
- Biasiswa/Pinjaman Pelajaran – 73 individu bankrap (0.16%)
Sementara bagi pengamatan mengikut bangsa pula, Melayu mencatatkan kes muflis tertinggi dengan 26,911, diikuti Cina (11,237), India (4,061), Lain-lain (3,875) dan Bukan Warganegara (48).
Manakala bagi peringkat umur pula – secara jelas memperlihatkan kumpulan belia sekitar 25-44 tahun menjadi kumpulan terbesar mencatatkan jumlah bankrap seramai 27,126 individu, diikuti bawah usia 25 tahun (239), 45-54 tahun (11,928), 55 tahun ke atas (6,636 dan lain-lain (203).
Melihat pada data ini, seharusnya semua pihak berkepentingan tingkatkan pendedahan literasi kewangan kepada para pengguna. Usaha tersebut tidak hanya membantu pengguna mengetahui cara perbelanjaan tepat tetapi turut memulihkan semula status kewangan mereka.