Najib Razak menggesa kerajaan melindungi Sapura Energy Bhd daripada muflis dengan memberi pinjaman atau mengarahkan Petronas atau Khazanah Nasional mengambil alih pemilikan daripada Permodalan Nasional Bhd (PNB).
Bekas perdana menteri itu mengkritik PNB kerana gagal mengambil tindakan semasa pentadbiran Perikatan Nasional sebelum ini mengenai masalah Sapura dan menghentikan bantuan aliran tunai.
“PNB dan kerajaan perlu memikirkan kepentingan strategik negara. Ekosistem vendor Bumiputera, mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat dan ekonomi secara keseluruhan, ia lebih daripada sekadar membuat pelaburan lain.
“Jika Sapura muflis, 10.6 juta pelabur Amanah Saham Bumiputera akan mengalami kerugian langsung RM4 bilion.
“PNB, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan kumpulan wang simpanan lain akan menghadapi kerugian tidak langsung akibat hutang RM10 bilion yang terhutang kepada bank tempatan, seperti Maybank, di mana PNB memiliki 50%,” tulisnya di Facebook.
Najib juga berkata hampir 10,000 pekerjaan bergaji tinggi akan hilang dan kira-kira 4,500 vendor atau pembekal akan terjejas.
“Malaysia akan kehilangan sebuah syarikat multinasional, serta syarikat perkhidmatan petroleum terbesar dalam sektor terpenting negara.”
Beliau menggesa kerajaan bertindak segera dengan menyediakan pinjaman faedah mudah atau jaminan pinjaman kepada Sapura bagi menyelesaikan masalah aliran tunainya, dengan alasan inilah cara kerajaan Barisan Nasionalnya menyelamatkan Proton.
Najib, bagaimanapun, menyatakan bahawa ini akan menjadi penyelesaian sementara jika Sapura kekal di bawah PNB, yang “tidak berpengalaman” dalam sektor ini dan telah membuat keputusan yang tidak tepat pada masa lalu. “Masalah yang sama boleh berlaku lagi,” katanya.
Sebagai alternatif, katanya, kerajaan boleh mengarahkan Petronas atau Khazanah Nasional Bhd untuk mengambil alih pemilikan Sapura. Petronas bukan sahaja masih memerlukan perkhidmatan Sapura untuk projeknya, tetapi mempunyai pemahaman yang lebih baik tentang sektor itu.
“Beginilah cara Petronas menyelamatkan MISC Berhad pada 1998. Selepas pulih, Petronas (atau Khazanah) boleh menjual semula sebahagian saham Sapura ke pasaran tempatan sama seperti Petronas menjual semula saham MISC untuk mengaut keuntungan,” katanya.
Menurut Najib, Sapura, 40% daripadanya dimiliki oleh PNB, mengumumkan kerugian RM8.9 bilion tahun lepas. Kerugian terbesar bagi mana-mana syarikat berkaitan kerajaan dalam sejarah. “Sapura berada di ambang muflis, berdepan dengan berpuluh-puluh saman kebankrapan yang difailkan oleh vendornya.”
“Harga saham Sapura jatuh daripada sekitar 80 sen sebelum PRU14 kepada 3.5 sen. Ini bermakna pelaburan tambahan PNB sebanyak RM2.7 bilion pada 2019 apabila harga saham 41 sen telah jatuh hampir 95% dalam tempoh tiga tahun sahaja.
“Sapura pernah menjadi syarikat perkhidmatan sektor minyak dan gas kedua terbesar di dunia dengan nilai RM30 bilion. Pada masa ini, syarikat ini, yang masih merupakan syarikat perkhidmatan kepada sektor petroleum terbesar negara, hanya bernilai sekitar RM500 juta hingga RM650 juta,” katanya.
Najib berkata masalah syarikat timbul daripada peminjaman berlebihan yang dibuat sebelum 2015 apabila harga minyak mencecah AS$100 setong. Apabila Sapura cuba memohon pinjaman modal kerja sebanyak RM2 bilion daripada bank tempatan selepas harga minyak mula meningkat pada 2019, permohonan pinjamannya ditolak.
Walaupun PNB melakukan rombakan pengurusan Sapura pada awal 2021, Najib berkata PNB tidak lagi mahu membantu syarikat itu dengan pinjaman baharu tetapi mengarahkan Sapura melupuskan asetnya untuk menyelesaikan masalah aliran tunainya.
“Penutupan sempadan antarabangsa, merumitkan penjualan aset.
“Tanpa kemudahan bank dan modal kerja untuk meneruskan projek sedia ada atau menjalankan projek baharu, Sapura pasti akan muflis,” katanya.
Sementara itu Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa cadangan bekas perdana menteri Najib Razak untuk menyelamatkan Sapura Energy Bhd adalah usaha untuk membela segelintir golongan elit, sedangkan semasa golongan itu bermewah hasil daripada pembiayaan wang rakyat.
Menerusi satu kenyataan, bekas ahli parlimen Pandan itu, berkata wang rakyat sebegitu besar jumlahnya itu lebih baik dibelajakan untuk membina kepakaran dan kemahiran usahawan-usahawan kecil, anak-anak muda, memberi pinjaman pendidikan dan seumpamanya.
“Saya akan terus memantau isu ini dan membentangkan angka-angka dalam hari-hari yang seterusnya untuk mengingatkan rakyat supaya jangan terpedaya sekali lagi dengan idea pengurusan ekonomi dari Najib Razak,” kata Rafizi sambil menambah bahawa idea sedemikian adalah “songsang.
Anak syarikat konglomerat Kumpulan Sapura, Sapura Energy mencatatkan kerugian sejak 2019. Bagi tahun kewangan berakhir 31 Jan 2022, Sapura Energy mencatatkan kerugian RM8.9 bilion.
Tiga daripada anak syarikat Sapura Energy telah diberikan notis petisyen penggulungan awal bulan ini.
Ketika berita ini ditulis, saham Sapura Energy diniagakan pada 3.5 sen, jatuh daripada paras kemuncaknya iaitu RM4.98 pada 2013.
Semalam, Najib berhujah bahawa dengan membiarkan Sapura Energy muflis akan menyebabkan kerugian RM4 bilion kepada Permodalan Nasional Bhd (PNB) – dana amanah yang dikawal oleh kerajaan.
Pada September 2018, PNB meningkatkan pegangannya dalam Sapura Energy kepada 40 peratus, meningkat daripada 12.16 peratus. Ketika itu, pengerusi Kumpulan PNB adalah Zeti Akhtar Aziz manakala Ketua Pegawai Eksekutifnya pula adalah Abdul Rahman Ahmad.
Jika Sapura Energy tumbang, Najib, berkata, maka ia akan terpaksa untuk dijual dengan harga paksaan ataupun firesale price. Namun katanya, memandangkan aset-aset Sapura adalah amat khusus bagi sektor minyak dan gas, nilainya juga tinggi dan dia yakin syarikat itu akan dibeli oleh syarikat asing yang akan mengambil kesempatan masalah tersebut.
Menurut bekas menteri kewangan itu, bank-bank tempatan juga terdedah kepada kerugian RM10 bilion hasil dari jumlah pinjaman Sapura.
Justeru, Najib mencadangkan kepada kerajaan supaya memberi soft loan atau pinjaman mudah kepada Sapura ataupun mengarhkan Petronas supaya mengambi alih syarikat berkenaan.
Rafizi berkata, walaupun dirinya bersimpati dengan nasib kakitangan di Sapura Energy, namun, adalah tidak adil untuk menggunakan berbilion-bilionwang rakyat demi untuk menyelamatkan beberapa tokoh korporat.
“Lebih-lebih lagi apabila sejumlah wang yang besar melebihi berbilion-bilion ringgit telah pun disuntik ke dalam Sapura sejak lebih sedekad yang lalu,” katanya.Lihat Komen