30th Nov. – Hari ini merupakan hari terakhir bagi bulan November 2020, dan baki 4 hari dagangan lagi pada minggu ini bakal jatuh dalam bulan Disember 2020. Tumpuan utama pasaran tertumpu kepada prestasi US Dollar di mana pada ketika ini sedang berada dalam keadaan lemah.
Trend kejatuhan US Dollar telah bermula sejak Mac 2020 dan masih berterusan jatuh dari hari ke hari. Terdapat beberapa perkara yang menyumbang kepada kelemahan US Dollar, antaranya adalah kerana situasi pandemik Covid-19. Negara Amerika Syarikat merupakan negara yang paling teruk dilanda pandemik itu memaksa kerajaan A.S membuat perubahan drastik dalam melawan kesan terhadap ekonomi.
Federal Reserve membuat keputusan drastik dengan menumpukan kepada polisi kewangan yang lemah bagi meransang ekonomi yang terjejas teruk. Kadar faedah diturunkan secara mendadak ke paras 0.00% – 0.25% sekaligus melemahkan keyakinan pelabur dan pedagang terhadap nilai US Dollar.
Pada masa yang sama, optimism terhadap kemunculan vaksin Covid-19 juga tidak membantu kepada pengukuhan US Dollar setakat ini. Sepanjang bulan November 2020, indeks dollar yang mengukur kekuatan US Dollar turun sebanyak 2.4%.
Jika dibandingkan dengan matawang yang lain, matawang utama seperti Pound Sterling, Euro, dan Canada Dollar mencatatkan peningkatan berbanding US Dollar. Pair GBP/USD didagangkan pada paras $1.3340 setakat hari ini, peningkatan yang agak ketara bagi tahun 2020. Manakala pair EUR/USD juga menunjukkan trend pendakian yang serupa dan kini didagangkan menghampiri $1.20.
Dari segi aktiviti di dalam kalendar ekonomi minggu ini, tumpuan pastinya akan diberikan kepada tarikh 1 Disember 2020 di mana Pengerusi FEDS, J.Powell akan memberikan ucapan beliau mengenai situasi ekonomi dan polisi kewangan semasa di Capitol Hill. Selain daripada itu, beberapa data ekonomi yang bakal terbit pada 3 Disember ini seperti Initial Jobless Claim dan ISM Services PMI juga mencuri tumpuan.
Yang terkahir, pada 4 Disember ini, laporan data Non-Farm Payrolls akan diterbitkan bersama dengan laporan Trade Balance yang mana pastinya akan memberikan pengaruh yang besar terhadap kekuatan matawang US Dollar bagi bulan Disember 2020.