Tesla akan membuka sebuah ibu pejabat di Malaysia, memperkenalkan Pusat Pengalaman dan Pusat Servis Tesla serta mewujudkan rangkaian pengecas Supercharger di Malaysia.
Ini selepas Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah meluluskan permohonan Tesla untuk mengimport Kenderaan Bateri Elektrik (BEV) ke Malaysia.
Tesla beroperasi menggunakan model jualan pengguna secara terus tanpa membabitkan pengedar.
Pusat Pengalaman Tesla adalah lokasi di mana pengguna boleh mempelajari lebih mendalam mengenai kenderaan itu.
Bakal pembeli perlu membuat tempahan secara dalam talian dan kereta akan diterima selepas stok diperuntukkan.
Tesla Inc adalah multinasional Amerika Syarikat (AS) yang beribu pejabat di Austin, Texas yang terbabit dalam bidang autommotif, kecerdasan buatan dan tenaga bersih.
Ia mereka bentuk dan mengeluarkan EV (kereta dan trak), simpanan tenaga bateri dari rumah ke skala grid, panel solar serta produk dan perkhidmatan berkaitan.
Tesla adalah salah satu syarikat paling bernilai di dunia dan setakat ini, ia adalah pengeluar kenderaan paling bernilai di dunia.
Syarikat itu mempunyai lebih 120,000 pekerja di seluruh dunia.