Seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kedah, atas 22 pertuduhan menerima deposit berjumlah keseluruhan RM876,375 tanpa lesen sah, sejak April lalu.
Tertuduh, Norsyazwany A Rahim, 23, dari Kampung Landak Hilir, Kupang, Baling, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Najwa Che Mat.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menerima deposit daripada 22 individu secara berasingan, berjumlah di antara RM2,500 hingga RM489,000 tanpa lesen sah, mengikut Seksyen 10, Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).
Tertuduh yang juga ibu kepada dua anak, didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi berasingan sekitar Baling di antara 10 April hingga 2 Ogos tahun ini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 137(1) akta sama, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM50 juta atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Ikmal Affandi Zulkifli, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohamad Salihen Mastor.
Pihak pendakwaan kemudian meminta mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM214,000 ke atas tertuduh bagi kesemua pertuduhan.
Bagaimanapun, Mohamad Salihen memohon agar jaminan dikurangkan berikutan tertuduh hanya berniaga sambilan dengan pendapatan tidak menentu selain perlu menguruskan dua anak berusia dua tahun dan lapan bulan yang masih menyusu.
Najwa kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi 21 pertuduhan manakala satu pertuduhan ditawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan jumlah keseluruhan wang jaminan ialah RM115,000 bersama dua orang penjamin.
Mahkamah turut memerintahkan agar tertuduh melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan pasport antarabangsa diserah kepada mahkamah serta menetapkan kes disebut semula pada 23 November depan.
Tertuduh bagaimanapun, gagal membayar jaminan dan dihantar ke Penjara Pokok Sena.
Sementara itu, Mohamad Salihen yang ditemui selepas prosiding, berkata pihaknya akan memfailkan rayuan semakan di Mahkamah Tinggi Sungai Petani terhadap jumlah jaminan yang ditetapkan hari ini.