Saintis memberi amaran bahawa dunia dijangka akan kehabisan makanan dalam tempoh 27 tahun akan datang.
Menurut kajian dan analisis yang dibuat, krisis makanan global itu diramal berlaku dalam tempoh 27 tahun dan 251 hari, bermula 24 April 2022.
Menurut seorang ahli sosiobiologi, Edward Wilson berkata manusia memerlukan sekurangnya dua planet Bumi bagi memenuhi keperluan makanan semasa.
“Bumi mempunyai had kapasiti dalam membekalkan sumber makanan kepada manusia. Walaupun seluruh manusia menukar diet menjadi vegetarian, tanah-tanah ladang di Bumi masih tidak dapat memenuhi keperluan tersebut.
“Populasi dunia akan menjadi terlalu besar berbanding bekalan makanan. Pada masa itu (2050), terdapat hampir 10 bilion penduduk Bumi dengan permintaan makanan meningkat 70 peratus berbanding tahun 2017.
“Apa yang berlaku adalah sumber makanan di Bumi adalah terhad kepada 10 bilion orang sahaja. Itu angka maksimum. Ia tidak berubah kerana biosfera bersifat malar,’’ jelas Wilson.
Jangkaan masa yang dinyatakan itu adalah dengan mengambil kira pengambilan makanan semasa yang kini berlebihan dan pertumbuhan populasi manusia di Bumi.
“Tidak mungkin semua orang bersetuju untuk berhenti makan daging, jadi takat maksimum sebenar adalah lebih rendah daripada 10 bilion. Tambahan pula, pengambilan makanan berlebihan dan pembaziran makanan berlaku setiap hari.
“Sebagai contoh, jika seluruh penduduk dunia memiliki diet yang sama dengan rakyat Amerika Syarikat (AS), Bumi hanya boleh membekalkan makanan kepada 2.5 bilion orang.
“Dunia boleh memberi makan kepada populasi lebih besar jika manusia tidak memakan daging kerana tenaga yang diperlukan untuk menghasilkan daging jauh lebih banyak berbanding makanan lain. Sebagai contoh, kita memerlukan lebih 75 kali tenaga untuk menghasilkan daging berbanding jagung,’’ tambah Wilson.
Krisis makanan global sering menjadi perhatian para saintis dan kini ramai mula mencari alternatif lain termasuklah menghasilkan makanan daripada udara dan sebagainya.