Presiden Rusia Vladimir Putin mengumumkan “operasi ketenteraan” di Ukraine pada Khamis sekali gus menyeru tentera di negara itu untuk tidak mengangkat senjata.
Langkah Putin tersebut dilihat menentang desakan Barat dan kecaman global supaya Rusia tidak melancarkan perang di rantau itu.
“Saya telah membuat keputusan untuk melancarkan operasi ketenteraan,” katanya dalam sebuah siaran televisyen secara mengejut pada pukul 6 pagi waktu tempatan dan berikrar akan membalas dendam terhadap pihak yang campur tangan dengan keputusannya.
Dalam pada itu, beliau juga menyeru tentera Ukraine untuk tidak mengangkat senjata susulan operasi yang dilancarkannya.
Kenyataan terbaru Putin itu dibuat selepas Kremlin berkata pemimpin pemberontak di timur Ukraine telah meminta bantuan ketenteraan Moscow bagi menghadapi Kyiv.
Sebagai tindak balas, lewat malam tadi Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky merayu supaya rakyat Rusia tidak menyokong keputusan kerajaannya yang boleh mencetuskan “perang besar di Eropah”.
Bercakap dalam bahasa Rusia, Zelensky berkata rakyat Rusia ditipu mengenai situasi di Ukraine dan perang yang mungkin terjadi sangat “bergantung dengan pendirian anda (mengenai keputusan Putin tersebut)”.
“Siapa yang boleh menghentikan (perang ini)? Rakyat. Mereka ada dalam kalangan kamu semua, saya yakin,” katanya.
Zelensky berkata beliau telah cuba menghubungi Putin namun tiada maklum balas daripada pemimpin Rusia itu.
Beliau juga berkata Moscow kini mengerahkan kira-kira 200,000 tentera berhampiran sempadan Ukraine.
Terdahulu, pemimpin pemisah Donetsk dan Luhansk menghantar surat berasingan kepada Putin, meminta beliau “membantu mereka menangkis pencerobohan Ukraine” kata jurucakapnya, Putin Dmitry Peskov.
Kedua-dua surat bertarikh 22 Februari daripada puak pemisah di dua wilayah timur Ukraine itu diterbitkan oleh media Rusia.
Rayuan dari dua wilayah itu dibuat selepas Putin mengiktiraf kemerdekaan mereka dan menandatangani perjanjian dengan mereka yang termasuk perjanjian pertahanan.
Puluhan ribu tentera Rusia kini ditempatkan berhampiran sempadan Ukraine.
Sambil berjaga-jaga, Barat juga berkata sejak beberapa hari lalu bahawa serangan akan berlaku di wilayah tersebut.
‘Saat bahaya’
Putin menentang kritikan antarabangsa berhubung krisis tersebut dan beberapa pemimpin Barat mengatakan beliau sudah tidak lagi rasional kerana campur tangan di wilayah bergolak tersebut.
Pengumumannya mengenai operasi ketenteraan dibuat menjelang sidang kemuncak terakhir melibatkan pemimpin Kesatuan Eropah di Brussels hari ini.
Sebelum ini, kesatuan dianggotai 27 negara itu juga telah mengenakan sekatan ke atas menteri pertahanan Rusia Sergei Shoigu dan pemimpin kanan termasuk komander tentera Rusia.
Keputusan sekatan ke atas Rusia itu dibuat sebagai sebahagian daripada gelombang usaha Barat dalam menghadapi krisis tersebut selepas Putin dilihat cuba melakar sempadan baru bagi Ukraine.
Semalam, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengadakan mesyuarat tergempar kali kedua dalam tempoh tiga hari bagi membincangkan krisis tersebut.
Bagaimanapun rayuan peribadi oleh Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres tidak diendahkan oleh Putin.
“Presiden Putin, hentikan tentera anda daripada menyerang Ukraine, beri peluang kepada keamanan, sudah terlalu ramai orang kehilangan nyawa,” kata Guterres.
Duta AS ke PBB, Linda Thomas-Greenfield, memberi amaran bahawa pencerobohan Rusia di Ukraine boleh lima juta penduduk negara itu kehilangan tempat tinggal selain mencetuskan krisis baru pelarian di Eropah.
Sebelum pengumuman Putin, Ukraine menggesa kira-kira tiga juta warganya yang tinggal di Rusia untuk keluar dari negara itu.
“Kita secara bersama yakin bahawa masa depan keselamatan warga Eropah sedang diputuskan ketika ini, di sini, di rumah kita, di Ukraine,” kata Presiden Zelensky semasa penampilan media bersama dengan pemimpin-pemimpin dari Poland dan Lithuania.
Beberapa negara Barat berkata Rusia telah mengumpulkan 150,000 tentera dalam formasi pertempuran di sempadan antara Ukraine, Rusia, Belarus dan Crimea yang dikuasai Rusia selain turut menempatkan kapal perang di Laut Hitam.
Ukraine mempunyai kira-kira 200,000 anggota tentera dan panggilan menyertai ketenteraan pada Rabu boleh mengumpul sejumlah 250,000 anggota tentera simpanan berumur antara 18 dan 60 tahun.
Bagaimanapun, jumlah pasukan Moscow jauh lebih besar merangkumi sekitar sejuta kakitangan tentera yang aktif di mana mereke dilengkapi peralatan dan senjata moden dalam tepoh beberapa tahun kebelakangan ini.