Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan mempengaruhi orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam berbelanja dan akan menggalakkan mereka meningkatkan simpanan.
Sambil menyifatkan wujud salah faham bahawa kenaikan OPR akan menyebabkan inflasi lebih tinggi, Perdana Menteri berkata apabila permintaan untuk barangan dan perkhidmatan dalam ekonomi menjadi terlalu tinggi berbanding bekalan, harga akan cenderung untuk meningkat.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, OPR yang lebih tinggi akan membantu menyesuaikan permintaan kepada tahap yang lebih setara dengan bekalan seterusnya membantu mengurangkan tekanan terhadap kenaikan harga barangan.
Katanya, jika keadaan inflasi menjadi tidak terkawal, kuasa beli bagi semua isi rumah, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah, serta kuasa beli simpanan penabung dan pesara akan merudum akibat kenaikan harga yang mendadak.