Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) dijangka menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada dua lagi mesyuarat akan datang September dan November ini, jika kadar inflasi teras meningkat melebihi 3.5 peratus.
Jangkaan itu juga didorong pertumbuhan kukuh Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2022 yang diumumkan Jumaat lalu.
Ahli Ekonomi OCBC Bank, Wellian Wiranto, berkata beliau melihat kemungkinan terdapatnya kenaikan 25 mata asas (bps) lagi dalam mesyuarat MPC pada September, sebahagiannya disebabkan oleh tekanan harga yang mula muncul dan kelihatan lebih ketara.
“Walaupun mungkin kini telah ada ‘cakap-cakap’ menyatakan kenaikan yang lebih tinggi, dalam 50 mata asas, kami masih terus meletakkan kebarangkalian yang lebih rendah untuk itu.
Hakikat bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) agak awal dalam menormalkan kadar apabila telah menaikkan kadar sebanyak dua kali tahun ini, memberikannya ruang untuk terus menggunakan pendekatan sederhana dan beransur-ansur buat masa ini.
“Namun, kami melihat ruang lebih tinggi untuk kenaikan 25 mata asas lagi dalam mesyuarat terakhir tahun ini pada November, yang akan meletakkan OPR pada 2.75 peratus menjelang akhir 2022,” katanya dalam satu laporan ekonomi serantau.
Beliau turut menjangkakan bahawa seandainya inflasi teras meningkat melebihi 3.5 peratus tberbanding 3.0 peratus pada bulan Jun, kemungkinan OPR akan dinaikkan November ini adalah lebih jelas.
Wellian berkata, Malaysia prestasi ekonomi Malaysia yang mencatatkan pertumbuhan 8.9 peratus adalah mengagumkan kerana mengatasi unjuran pasaran termasuk jangkaan OCBC Bank iaitu 7.5 peratus dan median 7.0 peratus.
Beliau berkata, pertumbuhan KDNK suku kedua yang berada di luar jangkaan itu secara teknikalnya adalah tertinggi dalam tempoh hanya setahun selepas merekodkan pertumbuhan 15.9 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2021.
“Walaupun ia (pertumbuhan ekonomi suku kedua) tidak mencatatkan kenaikan besar daripada kesan tahun asas seperti yang dicapai 2021, peningkatan terkini sebenarnya adalah amat mengagumkan,” katanya.
Beliau berkata, pertumbuhan mengagumkan ekonomi negara dipacu lonjakan ketara penggunaan swasta kepada 18.3 peratus tahun ke tahun, berbanding 5.5 peratus pada suku pertama.
“Pemulihan dalam pekerjaan sepanjang suku kedua, dengan kadar pengangguran menurun lagi kepada 3.8 peratus pada Jun berbanding paras tertinggi 4.8 peratus tahun lalu membantu menyokong pengukuhan penggunaan.
“Ini disokong dengan peningkatan dalam pencapaian KDNK peringkat industri, dengan barangan seperti perkhidmatan rekreasi meningkat 75.1 peratus serta restoran dan hotel meningkat sebanyak 36.7 peratus tahun ke tahun.
“Secara keseluruhannya, ini memberi isyarat ‘perbelanjaan balas dendam’ yang dihadapi negara yang memasuki peringkat endemik COVID-19,” katanya.
Sementara itu, MIDF Research berkata, KDNK Malaysia mencatat pertumbuhan paling pantas pada suku kedua, melepasi jangkaan pasaran dipacu lonjakan aktiviti domestik susulan pembukaan berterusan ekonomi termasuk sempadan antarabangsa.
Katanya, berbanding ekonomi serantau, Malaysia menyertai Indonesia dan Singapura untuk mencatat pertumbuhan lebih tinggi dan lebih baik daripada Filipina dan ekonomi Asia Timur lain.
“Bagi asas suku ke suku, KDNK pelarasan bermusim Malaysia meningkat 3.5 peratus suku ke suku, pengembangan tiga suku tahun berturut-turut sejak suku keempat tahun lalu.
“Selain daripada prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 lebih longgar, kami melihat kesan asas yang rendah terutama ketika sekatan pergerakan bermula 1 Jun 2021 yang juga menyumbang kepada pertumbuhan tahunan lebih tinggi dari jangkaan pada suku kedua 2022,” katanya.-BH