Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yakin masalah kekurangan beras putih tempatan di pasaran domestik akan dapat dipulihkan susulan musim menuai di negeri Kedah telah bermula.
Timbalan Menterinya, Chan Foong Hin, berkata musim tuaian padi di kawasan jelapang negeri Kedah boleh menjadi pemangkin kepada usaha dan intervensi kerajaan menampung kekurangan bekalan beras menerusi Program Khas Beras Putih Tempatan (BPT) yang sedang giat dilaksanakan.
“Selepas beberapa langkah intervensi yang dilaksanakan termasuk Program Khas BPT, kekurangan beras di pasaran domestik dijangka dapat dipulihkan ekoran musim menuai padi yang baru bermula di Kedah,” katanya ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) peringkat kementerian itu di Dewan Negara hari ini.
Sebelum ini, Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu, dilapor berkata bekalan beras putih tempatan di pasaran dijangka kembali stabil dalam masa sebulan, susulan pelbagai langkah intervensi dan pemantauan berterusan dilakukan kerajaan termasuk pelaksanaan Program Khas BPT.
Progran Khas BPT yang dilaksanakan secara dua fasa bermula 8 Sept lalu menyaksikan pengilang diminta meningkatkan 20 peratus bekalan beras putih tempatan di pasaran bagi penyelesaian jangka pendek bekalan makanan ruji itu.-AWANI