Menteri Pertanian dan Industri Makanan Malaysia Ronald Kiandee berkata larangan eksport ayam negara itu dijangka tamat pada 31 Ogos.
“Campur tangan itu adalah sementara dan dijadualkan tamat pada 31 Ogos buat masa ini,” kata Dr Kiandee di parlimen pada Khamis (4 Ogos).
Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan susulan Anggota Parlimen (AP) Kluang Wong Shu Qi semasa sesi soalan menteri.
Menyifatkan keputusan untuk melarang eksport itu sebagai satu langkah yang salah, Wong berkata larangan tersebut menyebabkan Singapura mempelbagaikan sumber makanannya dan membeli ayam dari negara-negara jiran lain.
“Kita kehilangan satu pasaran. Jadi tidak kira sama ada kita membuka semula atau membenarkan kembali eksport, kita sudah kehilangan satu pelanggan,” kata Wong.
Dalam responsnya, Dr Kiandee menekankan larangan itu bersifat sementara dan langkah-langkah perlindungan serupa seumpama itu juga diambil negara-negara lain, yang berdepan dengan kekurangan bekalan makanan.
“Apabila keadaan menjadi stabil di merata negara – bukan sahaja lebihan bekalan di beberapa lokasi tetapi di seluruh negara – tentu sekali kerajaan akan memutuskan untuk membenarkan eksport,” jelasnya.
Pada 1 Ogos lalu, menteri tersebut memaklumkan para Ahli Parlimen bahawa Malaysia kini mempunyai lebihan bekalan dan boleh mengeksport ayam ke negara-negara lain.
“Buat masa ini, kita mampu menghasilkan 106 peratus daripada keperluan kita bagi ayam. Ini bermakna kita mempunyai kemampuan untuk mengeksport ayam dari negara kita,” kata beliau ketika itu.
Kerajaan Malaysia sebelum ini melarang eksport sehingga 3.6 juta ayam sejak 1 Jun dalam usahanya menangani isu bekalan dan harga bagi ayam di negara itu.
Larangan itu dikuatkuasakan berikutan aduan kekurangan bekalan dan kenaikan harga ayam, dengan sebilangan pedagang menjual ayam mereka melebihi harga siling bagi membiayai kos.
Dalam menangani masalah harga ayam yang meningkat, kerajaan menetapkan harga siling baru RM9.40 bagi setiap kilogram ayam standard bermula 1 Julai.
Para pemain industri ayam di Malaysia menggesa kerajaan supaya menarik balik larangan eksport ayam atau mereka akan mengalami kerugian dek kehilangan pasaran Singapura.
Sebagai respons kepada larangan eksport itu, Singapura mengumumkan ia akan membeli ayam dari negara-negara lain termasuk Indonesia dan Thailand.
Bermula 14 Jun lalu, Malaysia menarik balik separa larangan itu dan membenarkan pengimport ayam di Singapura untuk menyambung semula kegiatan membawa masuk ayam kampung serta ayam hitam hidup.-AGENSI