Kerajaan tidak bercadang untuk campur tangan segera dalam krisis kejatuhan pasaran modal dan ringgit ketika ini, demikian menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Beliau menegaskan, tiada sebarang perbincangan dibuat oleh kerajaan untuk terbabit secara terus dalam mengimbangi kejatuhan pasaran modal dan ringgit yang mencetuskan kebimbangan banyak pihak pada masa ini.
Menurutnya, kerajaan melihat setiap campur tangan bagi menyokong pasaran modal dan ringgit akan membabitkan kos yang besar, dengan dana itu sepatutnya disalurkan kepada keperluan rakyat dan pembangunan ekonomi Malaysia.
Sebaliknya, beliau berkata kerajaan akan menunggu impak positif yang akan terhasil menerusi penstrukturan semula ekonomi termasuk langkah subsidi bersasar yang dilaksanakan secara berperingkat.
“Tiada perbincangan dalam kerajaan untuk campur tangan berikutan kejatuhan pasaran ekuiti dan ringgit.
“Kerajaan akan lihat perkembangan dan hasil pelaksanaan penstrukturan ekonomi dan subsidi bersasar. Selepas itu, kita akan lihat konsolidasi fiskal akan berlaku untuk menyokong pasaran modal dan ringgit.-BH