Kerajaan yakin kejatuhan nilai ringgit sejak kebelakangan ini tidak akan menjejaskan unjuran pertumbuhan ekonomi negara yang dianggar pada tahap 4 hingga 5 peratus, tahun ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bagaimanapun berkata, kerajaan akan terus memantau perkembangan mata wang tempatan itu.
Menurut beliau, penyusutan nilai ringgit dua minggu ini banyak dipengaruhi perbincangan mengenai had siling hutang Amerika Syarikat (AS), sekali gus mempengaruhi sentimen pasaran.
“Setakat ini terlalu awal untuk menetapkan bahawa kejatuhan mata wang ringgit untuk satu dua minggu ini akan ada kesan terhadap unjuran pertumbuhan ekonomi negara.
“Kita kena tunggu data perdagangan dan ekonomi bulan depan sehingga dua bulan lagi kerana yang mempengaruhi unjuran pertumbuhan bukan sahaja kadar nilai ringgit, malah lebih kepada aktiviti perdagangan seperti eksport, import, harga minyak dan sebagainya,” katanya ketika ditanya sama ada kerajaan akan menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ekoran perkembangan terkini yang menyaksikan penyusutan mata wang tempatan.
Rafizi berkata, kejatuhan nilai ringgit ketika ini turut membawa kebaikan kepada ekonomi negara seperti peningkatan keuntungan sektor minyak kerana jual beli komoditi itu dalam dolar Amerika.
“Lebih tinggi harga minyak dan penurunan ringgit, lebih banyak duit kita dapat tetapi bagi eksport adalah sebaliknya. Jadi, kita akan terus memantau situasi tapi setakat ini tiada sebarang keperluan untuk menyemak semula unjuran yang dibuat,” jelasnya.