Kadar inflasi Turki meningkat kepada hampir 70 peratus pada April, menurut data yang dikeluarkan hari ini, sekali gus menimbulkan cabaran besar kepada Presiden Recep Tayyip Erdogan, dengan dasar ekonominya sering dipersalahkan atas krisis ekonomi.
Indeks harga pengguna meningkat sebanyak 69.97 peratus pada April berbanding dengan 61.14 peratus pada Mac, menurut agensi statistik negara.
Erdogan menegaskan pemotongan mendadak dalam kadar faedah diperlukan untuk menurunkan harga pengguna yang meningkat.
Kejatuhan mata wang lira telah mendesak harga import minyak meningkat dan pelabur asing kini sedang menjauhi pasaran membangun berkenaan.
Kadar inflasi tahunan Turki – yang tertinggi sejak parti pemerintah pimpinan Erdogan AKP mengambil alih tampuk pemerintahan pada 2002, sebahagiannya dikaitkan dengan dasar ekonomi bukan konvensional, menurut penganalisis.
Erdogan telah memberikan tekanan kepada bank pusat untuk mengurangkan kadar faedah.
Kenaikan harga terbesar pada April datang dari sektor pengangkutan, mencecah 105.9 peratus sementara harga makanan dan minuman bukan alkohol melonjak 89.1 peratus.
Turki telah memotong cukai ke atas sesetengah barangan dan menawarkan subsidi kepada beberapa bil elektrik untuk keluarga yang kurang mampu namun ia juga gagal membendung inflasi.
Mata wang Turki kehilangan 44 peratus daripada nilainya berbanding dolar pada tahun lalu dan lebih 11 peratus sejak awal Januari. – AFP