Mungkin ada rakyat Malaysia akhir-akhir ini berasa gelisah dengan pelaksanaan Program ID Digital Nasional (IDN) yang bakal bermula pada 2024.
Segelintir pengguna media sosial mendidakwa akan mendedahkan data peribadi rakyat.
Apa Itu ID Digital Malaysia / Identiti Digital Nasional (IDN)?
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), IDN merupakan satu bentuk pengenalan dan pengesahan diri secara digital yang merujuk sumber tunggal.
ID Digital Nasional ini dapat memudahkan rakyat berurusan secara bersemuka atau secara jarak jauh di alam maya dengan penyedia perkhidmatan digital dari sektor awam dan swasta bagi tujuan pengesahan identiti dengan selamat, terjamin dan menjimatkan masa.
Memetik portal rasmi MyGovernment, program IDN ini merupakan satu kaedah untuk pengesahan identiti seseorang di alam maya berasaskan pendekatan ‘What You Are’, ‘What You Have’ dan ‘What You Know’ yang disokong oleh rangkakerja identiti digital yang dipercayai (trusted digital identity framework).
ID Digital Nasional tidak akan menggantikan MyKad sebagai bukti kewarganegaraan tetapi akan melengkapinya sebagai bentuk pengenalan digital yang digunakan ketika bertransaksi secara digital.
SASARAN PENGGUNA UTAMA
Sasaran utama pemilik IDN adalah rakyat Malaysia dan akan diperluaskan kepada pemastautin yang menetap di Malaysia.
CIRI-CIRI
- Platform IDN beroperasi pada tahap kepercayaan yang tinggi untuk warganegara, kerajaan dan komuniti perniagaan
- Setiap warganegara dan penduduk yang layak akan didaftarkan dalam program IDN
- Memanfaatkan data demografi JPN untuk pengeluaran IDN
- Data biometrik baru (Cap Jari, Iris dan Muka) dan data demografi tambahan akan disimpan di dalam pangkalan data IDN
- IDN adalah nombor rawak yang dihubungkan dengan nombor kad pengenalan di dalam pangkalan data IDN. Nombor Kad Pengenalan digunakan oleh Warganegara & Pemastautin Tetap untuk transaksi IDN.
- Biometrik pelbagai-mod (“multi-modal”) akan diambil bagi setiap pemohon yang mendaftar.
- IDN akan membolehkan pengesahan identiti secara nyata dan dalam talian, serta perkhidmatan e-KYC.
- IDN akan memastikan reka bentuk yang menekankan aspek keselamatan dan privasi.
- IDN adalah unik untuk sepanjang hayat, dan seseorang individu tidak boleh mempunyai dua ID Digital
- Platform IDN adalah saling hubung (“interoperable”) dan berasaskan dasar keselamatan negara dan piawaian antarabangsa
Kelebihan Identiti Digital Nasional / ID Digital Malaysia (IDN)
- Pelaksanaan IDN ini membolehkan rakyat memperolehi suatu pengenalan diri digital unik yang akan digunakan dalam pelbagai perkhidmatan digital dan boleh menambahbaik kualiti kehidupan.
- Semakan dan pengesahan MyKad dapat dilaksanakan dengan mudah dan cepat
- Urus niaga boleh dibuat secara selamat dengan akses saluran omni pada mana-mana peranti, bila-bila masa, di mana sahaja, malah dari luar negara.
- Perkhidmatan digital mampu memudahkan proses perniagaan menggunakan penandatanganan digital.
- Kerajaan juga akan memperolehi platform pengumpulan dan pengesahan pengenalan diri selari dengan teknologi terkini dengan merekodkan data biometrik baru (10 cap jari, muka dan iris) penduduk Malaysia secara berpusat di JPN.
- IDN akan memberi tambah nilai kepada pelbagai sektor perkhidmatan dengan meningkatkan kecekapan, mengurangkan kos operasi dan menjimatkan masa dalam proses pengesahan pengenalan diri.
- IDN juga dapat mengelakkan pemalsuan pengenalan diri dalam transaksi perkhidmatan digital dan ini akan mempertingkatkan keselamatan dan ketenteraman awam.