HelloGold, aplikasi membeli emas secara mudah alih – kini mengumumkan penutupan operasinya di pasaran Malaysia dan Thailand, berkuat kuasa 2 Februari ini.
Langkah penutupan ini dicapai susulan prestasi syarikat tidak lagi berdaya maju dalam pasaran semasa. Maka dengan makluman ini, semua pelanggan yang berkaitan masih dibolehkan melaksana tindakan membeli dan menjual emas serta mengeluarkan wang tunai sehingga jam 7 pagi pada 2 Februari kelak.
Namun sekiranya masih terdapat baki emas pada akaun pelanggan, HelloGold akan laksana penjualan mengikut harga semasa dan kemudian dana tersebut akan dipindahkan ke akaun bank pelanggan dalam tempoh 5 hari.
Berikutan tindakan ini, HelloGold turut menjangkakan trafik kemasukan pada platform akan menjadi lebih tinggi dan sesak. Oleh itu, sebarang kesulitan para pelanggan boleh merujuk kepada khidmat awam HelloGold di talian 1300130888 untuk tindakan lanjut.
Buat pengetahuan umum, HelloGold adalah sebuah medium jual-beli emas yang membolehkan para pelanggan memiliki emas serendah RM1 di platform. Malah ia juga telah diperakui patuh syariah, dan telah beroperasi sejak 2015 lagi.