Sekumpulan kartel industri ternakan ayam dilaporkan merancang menutup ladang ternakan pada Sabtu dan Ahad ini sebagai protes kepada kerajaan yang dikatakan lambat melakukan bayaran subsidi harga ayam sebanyak 60 sen.
Penutupan itu bukan sahaja bakal meningkatkan harga ayam di pasaran, malah pengguna juga perlu berebut untuk mendapatkan bekalan yang dicatu oleh mereka malah turut menjejaskan operasi perniagaan pembekal.
Utusan memetik sumber sebagai berkata tindakan yang didalangi sebuah persatuan dipercayai merancang melaksanakan penutupan ladang ayam selama dua hari tersebut bagi memboikot kerajaan.
Malah satu pekeliling yang dikeluarkan semalam oleh sebuah syarikat ladang ternakan di Melaka kepada pembekal memaklumkan bekalan ayam akan dihentikan pada 21 hingga 22 Mei ini atas alasan ‘masalah-masalah ayam di ladang ternakan’.
Menurut sumber tersebut, strategi lama ‘tangan hitam’ itu mencatu ayam di dalam pasaran sebelum ini telah gagal hingga mereka mengambil keputusan menutup ladang-ladang ayam.
“Saya percaya niat mereka adalah untuk boikot kerajaan, pengguna dan pihak lain.
“Alasan mereka lakukan itu juga adalah kerana kos dedak dan anak ayam yang semakin meningkat serta kelewatan bayaran subsidi daripada pihak berkuasa.
“Sebab strategi peladang hari ini catu atau kurangkan ayam kepada pembekal tidak berjaya. Kerajaan tak ambil peduli pun walau banyak pembekal mahupun pengguna mengadu tidak dapat bekalan ayam sepatutnya,” katanya memetik laporan Utusan.
Terdahulu, akhbar itu mendedahkan kewujudan kartel yang mengawal harga pasaran ayam di negara ini didakwa menyebabkan harga ternakan itu tidak menentu di pasaran sejak kebelakangan ini.
Malah, hampir keseluruhan rantaian industri penternakan itu dikawal beberapa kartel besar yang menggunakan persatuan sebagai kaedah penyamaran perbuatan mereka.
Sumber menambah, penutupan ladang ternakan ayam itu akan menyebabkan pasaran tidak lagi dapat menampung permintaan pengguna kerana rantaian akan terputus sepenuhnya apabila ia berlaku.
Jelasnya, pembekal terpaksa mengikut kenaikan dari ladang lalu menyebabkan penjual terpaksa jual dengan harga tinggi kepada pengguna walaupun antara tiga komponen itu sudah melebihi harga kawalan.
“Sebelum ini ada kenaikan tapi sejak seminggu dua ini kenaikan mendadak sehingga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) banyak saman kami. Saman itu juga tinggi dan melampau.
“Maksud di sini apa yang peladang nak beritahu sebenarnya adalah kenaikan harga itu disebabkan kos bela ayam.
“Punca masalah adalah satu dunia, banyak negara mula berhenti eksport gandum dan jagung sedangkan sebelum ini jika dua barangan itu tidak berkualiti ia akan menyebabkan tumbesaran ayam terbantut,” jelasnya.
Tambahnya, ia kini bukan lagi isu atau masalah mengenai harga tetapi lebih kepada bekalan makanan asas masyarakat negara yang bakal terputus lalu menghuru-harakan pasaran industri negara.
“KPDNHEP perlu selesaikan masalah ini sebenarnya tapi mereka hanya mahu jadi ‘juara’ untuk kekalkan harga murah tanpa selesaikan masalah induk kepada penternak. Kerugian demi kerugian penternak harus tanggung.
“Mungkin ini masanya untuk mereka buat sesuatu agar kerajaan tahu akan masalah utama dan mula ambil serius. Jika tidak perang antara peladang dan pihak berkuasa akan terus berlanjutan, korbannya rakyat biasa,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga di Pasar Borong Selayang, turut khuatir akan tindakan yang bakal diambil oleh peladang kerana secara tidak langsung akan menjejaskan operasi perniagaan mereka lalu memaksa mereka untuk meningkatkan harga jualan ayam.
“Kerajaan perlu menghentikan protes peladang-peladang ini, ajak mereka berbincang untuk mendengar apa masalah yang mereka hadapi sehingga mengambil keputusan ini. Jika tidak huru-hara negara hilang sumber makanan asas.
“Malah, jika perkara itu terjadi permintaan di pasaran akan meningkat tetapi tiada bekalan untuk memenuhi permintaan tersebut. Akhirnya, harga melambung tinggi, sekarang ni pun kami sudah sering dimarahi kerana harga ayam mahal jika perkara tersebut benar-benar terjadi bagaimana kita nak hadapi?,” soalnya. – UTUSAN