Mulai 4 April 2022, semua pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan perlu membuat permohonan perakuan serta penandaan MS SIRIM daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd.
Menurut laporan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, ia susulan pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan 2022 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.
Difahamkan, pewartaan tersebut bertujuan memastikan pelitup muka bukan perubatan yang dihasilkan sama ada dalam negara atau diimport mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan menerusi perintah itu.
Pelaksanaan pewartaan tersebut mendapat perhatian orang ramai dan rata-rata netizen tidak bersetuju dengan pelaksanaan itu kerana negara kini di fasa peralihan endemik.
Bukan itu sahaja, para netizen turut mengatakan dengan pelaksanaan memastikan pelitup muka miliki cop SIRIM ini pastinya akan membuatkan harga meningkat dan membebankan rakyat kelak.
Malah, ada juga netizen keliru dengan denda yang dikenakan kepada individu sama ada ia berkait dengan pengguna atau tidak. Untuk pengetahuan anda, denda hanya akan dikenakan terhadap pengilang dan pengimport yang tidak patuh dengan penguatkuasaan dan bukannya kepada orang awam.
Bagi syarikat yang tidak mematuhi arahan boleh didenda tidak melebihi RM200,000 dan untuk kesalahan kali kedua atau berikutnya akan didenda tidak melebihi RM500,000.
Manakala untuk individu pula, denda yang dikenakan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya, denda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tak melebihi selama 5 tahun atau kedua-duanya sekali.