Gabenor Bank Negara Malaysia Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata langkah menambat ringgit akan menyebabkan kos yang tinggi.
Menambat ringgit tidak mendatangkan manfaat kepada Malaysia kerana ia akan membawa risiko besar, satu daripadanya adalah mencerminkan dasar monetari negara yang mata wang tempatan ditambat kepadanya, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Nor Shamsiah Mohd Yunus.
Beliau berkata mengekalkan tambatan akan menjadi dasar yang menelan kos tinggi kerana ia perlu menggunakan amaun rizab yang besar terutamanya pada dekad lepas dan ia seterusnya akan melemahkan daya tahan luaran Malaysia.
“Tambatan akan memberi kesan buruk kepada sentimen pelabur, menjejaskan bukan sahaja pelaburan langsung asing ke Malaysia tetapi juga membawa kepada aliran keluar modal dari negara ini,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan angka keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi suku pertama 2022 hari ini.
Nor Shamsiah berkata Bank Negara Malaysia (BNM) tidak menyasarkan mana-mana tahap kadar pertukaran dan akan memastikan tidak ada turun naik berlebihan dalam kadar pertukaran dan keadaan dalam pasaran kewangan.
“Kita perlu menyedari bahawa faktor utama yang membantu kita mengekalkan ringgit pada 1998 ada kawalan modal yang diperkenalkan pada masa itu,” jelasnya lagi.
Mengenai kelemahan unit tempatan itu ketika ini, beliau berkata ia didorong oleh faktor-faktor luaran dengan hakikat bahawa pertumbuhan di Amerika Syarikat (AS) adalah sangat kukuh dan inflasi sedang meningkat.
“Selain itu, ekonomi global juga berdepan dengan keadaan yang amat tidak menentu sekarang ini termasuk konflik di Ukraine yang terus berlarutan dan ketidaktentuan di China yang disebabkan oleh sekatan pergerakan menyeluruh,” katanya.
Nor Shamsiah juga berkata Indeks Volatiliti (VIX) turut meningkat secara berterusan yang membawa kepada pengukuhan dolar manakala mata wang di negara-negara lain mencatatkan penurunan berbanding dolar AS.
“Pergerakan ringgit itu adalah sejajar dengan negara serantau lain dan sekali lagi ingin saya tekankan bahawa mempunyai kadar pertukaran yang fleksibel adalah yang paling sesuai memandangkan keadaan semasa,” katanya.
Apa yang lebih penting, katanya, jumlah dagangan FX dalam pesisir di pasaran tempatan adalah kukuh dan volatiliti dalam pasaran dalam pesisir domestik tidak begitu jauh daripada kadar volatiliti harian.
Menurutnya, kadar pertukaran fleksibel akan menampan ekonomi dan juga memelihara daya saing Malaysia dalam keadaan situasi global sekarang.
Menurut BNM, unit tempatan menyusut sebanyak 0.7% berbanding dolar AS pada suku pertama 2022 (setakat 11 Mei, 2022: -4.7%) yang mana ia adalah sejajar dengan pergerakan mata wang serantau lain.- MalaysiaNow