Ringgit mampu meningkat semula dan mencatatkan aliran jangka panjang lebih baik jika penumpuan dasar secara serius diberi untuk mengukuhkan asas ekonomi berbanding mengambil langkah mengawal kadar tukaran atau melaksanakan tambatan, demikian menurut TA Securities.
Firma pembrokeran pasaran itu menyifatkan, kegagalan mengukuhkan asas ekonomi boleh membawa kepada ketidaktentuan yang lebih besar dalam ekonomi domestik dan risiko susut nilai selanjutnya bagi ringgit, inflasi yang lebih tinggi, kehilangan kelebihan daya saing dan pembayaran hutang luar negara lebih besar.
Katanya, ringgit ketika ini terkesan oleh faktor luaran seperti pengetatan monetari secara agresif oleh bank pusat Amerika Syarikat (AS), Rizab Persekutuan (Fed) dan kelembapan ekonomi China.
“Walaupun masih memegang nilai asas yang besar, perdagangan yang kukuh, ekonomi bertambah baik dan harga minyak mentah yang sentiasa tinggi, ringgit terus kehilangan nilai berbanding dolar AS.
“Pengetatan dasar agresif oleh Fed tahun ini dan peningkatan perbezaan kadar faedah telah menyebabkan permintaan yang lebih kukuh terhadap dolar AS yang menyebabkan ringgit didagangkan di atas paras psikologi RM4.50 sedolar sejak 7 September 2022 menghampiri paras sejarah terendah RM4.77 satu dolar dicatatkan pada 8 Januari 1998,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Memandangkan keadaan semasa dan pemangkin yang terhad, TA Securities telah mengurangkan unjuran paras purata ringgit bagi 2022 kepada RM4.43 sedolar berbanding RM4.35 sedolar sebelum ini.
Dari segi trend, ia menjangkakan aliran pergerakan mata wang tempatan akan bertambah baik pada 2023 berbanding julat dagangan semasa RM4.65 hingga RM4.75 sedolar dibantu oleh asas ekonomi yang masih kukuh dan jangkaan pengetatan monetari yang kurang agresif di AS.
“Menjelang akhir tahun depan, kami menjangkakan ringgit ditutup pada paras RM4.40 hingga RM4.50 berbanding dolar AS.
“Bagaimanapun, secara purata, ringgit masih berada pada RM4.53 sedolar untuk 2023 berikutan kelemahan prestasi pada separuh pertama tahun itu. Konsensus dijangka pada purata sekitar RM4.54 berbanding dolar AS,” katanya.
Penanda aras kadar pembiayaan di AS kini berada paras 3.75 peratus hingga 4.00 peratus, tertinggi sejak 2008 selepas kenaikan terkini sebanyak 75 mata asas pada Rabu.
Sementara itu, TA Securities berkata, keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menaikkan kadar faedah setakat ini dilihat mempunyai kesan yang minimum dalam menstabilkan ringgit.
Ia berkata, rizab antarabangsa merosot daripada AS$116.9 bilion pada 31 Disember 2021 kepada AS$104.5 bilion pada 14 Oktober 2022, yang menunjukkan sejumlah RM12.4 bilion campur tangan dalam pasaran tukaran asing untuk membantu menstabilkan mata wang tempatan.
Namun, ia dilihat tidak dapat mengatasi permintaan lebih kukuh dan tinggi untuk dolar AS, katanya.
TA Securities berkata, ringgit berlegar secara purata RM4.3775 sedolar dalam 10 bulan 2022 dan mencatatkan turun naik tidak menentu selama lebih setahun selepas melepasi paras tambatan RM3.80 sedolar.
Ketika itu, pihaknya melihat RM4.00 kepada dolar AS sebagai ‘normal baharu’ berbanding paras RM2.40 hingga 2.80 berbading dolar AS pada era sebelum Krisis Kewangan Asia.
“Adakah RM4.50 sedolar itu ‘normal baharu’? Dalam kes ini, pembuat dasar perlu bertindak cepat dan merangka cara yang lebih bijak untuk memastikan Malaysia memanfaatkan sepenuhnya sumber yang ada memandangkan ringgit yang lemah menyukarkan syarikat dan institusi tempatan untuk mencari pertumbuhan dan pulangan pelaburan di luar Malaysia.
“Namun, berita baik ialah asas makroekonomi negara yang semakin baik seperti pengukuhan kewangan awam dan memudahkan peningkatan kecekapan dan produktiviti sektor swasta adalah tonggak utama yang menyokong pengukuhan dan kestabilan ringgit,” katanya.-BH