Ringgit dijangka akan mengukuh menjelang 2024 atas beberapa faktor termasuk disiplin fiskal kerajaan dan pertumbuhan ekonomi global yang lebih baik.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ia juga disebabkan faktor ketidaktentuan dasar matawang Amerika Syarikat (AS) yang makin mereda.
“Dalam kes Malaysia, sejak pentadbiran ini mengambil alih, kesemua petunjuk lain mencatatkan pertumbuhan baik.
“Ekonomi tumbuh pada momentum yang baik selama tiga suku berturut-turut. Kadar inflasi adalah terendah sejak 2021, maknanya gejala kenaikan harga mendadak yang bermula di bawah pentadbiran lalu telah dikekang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Rafizi berkata, prestasi ringgit wajar diukur melalui perbandingan dengan sekumpulan matawang utama lain yang berdagang dengan negara itu.
“Prestasi nilai ringgit bagi suku ketiga 2023 (Jun ke September) menunjukkan peningkatan 2.9 peratus bagi yen, Jepun, 2.4 peratus (baht Thailand), 2 peratus (rupiah Indonesia) serta 1.7 peratus untuk won Korea Selatan.
“Selain itu, ringgit turut meningkat 1.6 peratus dan 1.4 peratus masing-masing bagi euro dan dolar Australia manakala menurun 0.2 peratus (dolar Singapore) dan 0.6 peratus untuk dolar AS,” ujarnya.
Justeru, Rafizi berkata, kejatuhan nilai ringgit sebelum ini perlu dilihat dalam perspektif yang lebih meluas dan bukannya berbanding dolar AS semata-mata.
“Ini kerana majoriti matawang di dunia menyusut berbanding dolar AS akibat dari tindakan agresif Bank Pusat AS menaikkan kadar faedah,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE