Kerajaan sedang mempertimbangkan penubuhan anak syarikat kawal selia Bursa Malaysia (RegSub) bagi mempertingkat struktur tadbir urus dan kawal selia pasaran saham negara.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata langkah itu juga berupaya meningkatkan struktur pentadbiran sedia ada dan menangani risiko yang berkaitan dengan konflik kepentingan.
“Penubuhan RegSub adalah sejajar dengan prinsip G20/Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) yang disemak semula, menekankan keperluan untuk pembahagian tanggungjawab yang jelas antara pelbagai pihak berkuasa dan untuk perlindungan untuk menguruskan konflik kepentingan berpotensi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama dalam Persidangan Meja Bulat OECD-Asia 2023 mengenal Tadbir Urus Korporat di sini, hari ini.
SC dan Bursa Malaysia pada Februari 2020 telah mengumumkan bahawa Bursa Malaysia akan menubuhkan anak syarikat milik penuh untuk mengambil alih fungsi pengawalseliaan yang ketika ini diuruskan Bursa Malaysia (Bursa RegSub).
Kedua-dua agensi itu telah bekerjasama rapat untuk terus mempertingkat struktur tadbir urus bursa dengan mengasingkan fungsi pengawalseliaannya daripada objektif komersil untuk menangani kewujudan persepsi konflik kepentingan berpotensi antara kedua-dua peranan berkenaan.
Bursa RegSub akan ditadbir oleh Lembaga Pengarah, dengan sebahagian besar ahlinya tiada kaitan dengan Bursa Malaysia, manakala Pengerusi Bursa RegSub akan dilantik dalam kalangan ahli Lembaga Pengarah Bebas.- BH