Seorang lelaki bukan hanya terpaksa berumah dalam kereta sejak setahun lalu malah 90 peratus gajinya digunakan bagi membayar hutang.
Situasi itu dihadapi Ariff Luqman Peter Lisut, 27, yang terpaksa menanggung bebanan hutang RM1 juta selepas terpengaruh dengan pelaburan wang digital pada 2019.
Anak kelahiran Sarawak itu berkata, pelaburan itu diketahui daripada bapanya apabila sebuah syarikat sedang mencari orang untuk dijadikan duta produk tersebut.
Menurutnya, pada mulanya pelaburan itu membawa pulangan lumayan sebelum berdepan masalah setahun lalu yang menyebabkan kehidupan mewah berubah sekelip mata.
“Saya terpaksa jual semua aset yang ada untuk bayar hutang. Saya buat pelbagai kerja untuk bayar hutang tersebut sedikit demi sedikit dan kini berbaki RM100,000 lagi.
“Dengan kerja tetap sebagai ketua pemasaran syarikat perunding kewangan, gaji RM6,000 itu saya gunakan 90 peratus untuk bayar hutang,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Ariff Luqman berkata, dia tidak sekadar bergantung kepada pekerjaan tetap sebaliknya turut melakukan kerja sampingan termasuk perkhidmatan pembersihan, upah poster dan pemasaran bagi menambah sumber kewangan bagi mempercepatkan melangsaikan hutang tersebut.
Dia meletakkan sasaran untuk melangsaikan hutang tersebut secepat mungkin bagi membolehkannya memulakan kehidupan baharu.- SH