Berdasarkan perangkaan yang ada, FBM KLCI mencecah paras tertinggi 1,504.16 pada 25 November 2022, seminggu selepas Pilihan Raya Umum ke-15, dan mengakhiri 2022 pada 1,495.49.
Bermula 2023, ia mencatatkan aliran menurun yang stabil sejak itu dan mencecah paras terendah 1,391.04 pada 16 Mac 2023, terutamanya terjejas oleh isu luaran seperti ketegangan geopolitik, pendirian agresif Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) bahawa kadar faedah boleh meningkat lebih tinggi dan kekal tinggi untuk jangka masa panjang, dan krisis perbankan di AS dan Eropah.
Ia pulih menjelang pertengahan April selepas China menghapuskan sekatan COVID-19, keredaan isu krisis perbankan AS dan jangkaan meningkat untuk AS menghentikan kenaikan kadar.
Walau bagaimanapun, momentum itu gagal selepas Fed menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas kepada 5.25 peratus Mei dan isu had siling hutang AS.
Persetujuan yang dicapai antara Demokrat dan Republikan berkenaan had hutang AS itu memberi kelegaan kepada pasaran, namun dengan enam Pilihan Raya Negeri yang akan datang mengekalkan pelabur dalam mod ‘bertahan’ pada Jun.
Ringgit mencatatkan penurunan hampir enam peratus pada separuh pertama 2023, menerajui kejatuhan dalam kalangan mata wang negara Asia, manakala pasaran saham negara ini dan Thailand adalah yang terburuk.
Kebanyakan mata wang Asia hari ini pulih daripada kerugian awal, dengan peso Filipina dan baht Thailand menerajui peningkatan dengan masing-masing mencatatkan kenaikan 0.4 peratus.
Bagi separuh pertama 2023, ringgit adalah mata wang yang mencatatkan kejatuhan terbesar dalam kalangan negara sedang pesat membangun Asia, apabila susut 5.8 peratus disebabkan oleh aliran keluar modal.
Ia kali terakhir diniagakan pada 4.670 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), menghampiri paras terendah dalam lapan bulan.