Inflasi Malaysia, yang diukur daripada Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 4.4 peratus kepada 127.9 pada Julai 2022 berbanding 122.5 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, didorong oleh kenaikan harga makanan.
Peningkatan kadar inflasi itu adalah lebih tinggi berbanding 3.4 peratus yang dicatatkan pada Jun 2022, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam statistik Indeks Harga Pengguna, Malaysia Julai 2022 yang diterbitkan hari ini.
Menurut DOSM, indeks makanan yang meningkat 6.9 peratus kekal menjadi penyumbang utama kenaikan inflasi pada bulan Julai.
“Namun begitu, terdapat item makanan yang menunjukkan momentum peningkatan yang lebih perlahan berbanding Jun 2022. Antaranya ialah subkumpulan ikan & makanan laut (4.2 peratus) dan sayur-sayuran (7.1 peratus),” katanya.
DOSM berkata, peningkatan inflasi Malaysia pada bulan Julai turut disebabkan oleh kesan asas yang lebih rendah pada tahun lalu berikutan pemberian diskaun bil elektrik dari lima hingga 40 peratus mengikut jumlah penggunaan kepada pengguna domestik di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi(PEMULIH) pada Julai sehingga September 2021.
“Selain daripada kumpulan makanan, kesemua kumpulan lain juga terus
merekodkan peningkatan kecuali komunikasi yang kekal tidak berubah
berbanding pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
“Restoran & Hotel meningkat 5.8 peratus diikuti oleh pengangkutan (5.6 peratus); hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (4.0 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (3.8 peratus).
“Sementara itu, perkhidmatan rekreasi & kebudayaan turut mencatatkan peningkatan sebanyak 2.5 peratus, pelbagai barangan & perkhidmatan (2.1 peratus) dan pendidikan (1.2 peratus).
DOSM berkata, inflasi bagi tempoh Januari hingga Julai 2022 meningkat 2.8 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Bagi perbandingan bulanan, ia berkata inflasi meningkat 0.4 peratus berbanding Jun 2022.
“Peningkatan ini disumbangkan terutamanya oleh peningkatan restoran & hotel (0.8 peratus) dan makanan & minuman bukan alkohol (0.7 peratus).
“Ini diikuti oleh hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (0.6 peratus) dan pengangkutan (0.5 peratus),” katanya.
Kenyataan itu menambah, inflasi teras dan inflasi tanpa bahan api masing-masing telah mencatatkan peningkatan 3.4 peratus dan 4.2 peratus pada Julai 2022 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
“Kesemua inflasi negeri menunjukkan peningkatan dalam inflasi di mana tiga
negeri meningkat melepasi paras inflasi nasional 4.4 peratus,” katanya.