KETUA Persatuan Antarabangsa Pengilang Dalam Operasi Eurasia pada Jumaat berkata semua institusi, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bersetuju dunia akan menghadapi krisis kelaparan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Eren Gunhan Ulusoy memetik laporan antarabangsa 811 juta orang kekurangan zat makanan dan 276 juta hidup dalam kedaifan ketika berucap pada persidangan antarabangsa melibatkan kumpulan itu di Istanbul, lapor Agensi Anadolu.
“Setiap biji gandum berharga, kita mesti mengambil langkah mengurangkan kelaparan dengan mengelakkan pembaziran serta mencegah kerugian,” katanya.
Pameran yang berlangsung selama empat hari bermula khamis lalu, membincangkan beberapa topik termasuk memberi tumpuan kepada pengeluaran bijirin peringkat global, isu perdagangan dan operasi pengilang.
“Pengilang mesti berusaha untuk melindungi setiap gram bahan mentah.
“Sekiranya gangguan rantaian bekalan disebabkan krisis di Ukraine gagal diselesaikan, 47 juta lagi orang akan berdepan ancaman kemiskinan,” katanya.
Pengeksport gandum utama dunia antaranya Ukraine yang menggantung eksportnya akibat operasi ketenteraan Russia di negara itu.
Jabatan Pertanian Amerika Syarikat, menyatakan 12 juta tan metrik gandum dunia akan berkurang.
Beliau menambah lagi, 6 juta tan stok gandum telah dinaikkan berbanding sejuta tan tahun ini serta menegaskan India akan memenuhi defisit gandum namun, selepas berlaku peningkatan suhu yang tidak dijangka, negara itu menghentikan eksport gandum buat masa ini.-Agensi