Kerajaan memberi jaminan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 akan tetap dilaksanakan mulai 1 Mei ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan tidak akan membuat pusingan U demi kepentingan 16.4 juta golongan pekerja di negara ini.
“Walaupun ada cadangan dan rayuan (pihak majikan), saya beri jaminan penetapan gaji minimum RM1,500 akan diteruskan pada 1 Mei (ini), tidak akan ada u turn (pusingan U).
“Butiran lanjut akan diumumkan Menteri Sumber Manusia (Datuk Seri M. Saravanan),” katanya selepas menyampaikan pampasan kepada 709 bekas pekerja Perwaja Steel Sdn. Berhad di sini hari ini.
Ismail berkata, kerajaan telah membuktikan kecaknaan menjaga kebajikan pekerja terutama membantu mereka berhadapan suasana getir sewaktu pandemik Covid-19 dan mengurangkan kadar pengangguran.
Jelas beliau, antara inisiatif yang telah dilaksanakan kerajaan ialah memperkenalkan subsidi upah dan program Jamin Kerja.
“Tanpa campur tangan kerajaan, (banyak) syarikat dan kilang akan membuang pekerja ekoran tidak dapat beroperasi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0.
“Program Jamin Kerja pula telah membantu 581,000 orang mendapat pekerjaan pada tahun 2021 dan kita sasar 600,000 orang pada tahun ini,” katanya. – KOSMO