Harga minyak dunia melonjak melepasi paras AS$100 (RM419.73) setong untuk kali pertama dalam tempoh tujuh tahun hari ini selepas Presiden Rusia, Vladimir Putin mengumumkan ‘operasi ketenteraan’ ke atas Ukraine.
Harga minyak mentah Brent meningkat kepada AS$100.4 (RM421.41) setong selepas pengumuman tersebut yang mencetuskan kebimbangan pelabur bahawa konflik berskala besar akan berlaku di rantau Eropah Timur.
Peningkatan mendadak harga minyak itu berlaku selepas Putin membuat pengumuman mengejut di televisyen untuk mengisytiharkan keputusannya.
“Saya membuat keputusan untuk melancarkan operasi ketenteraan,” katanya sejurus sebelum pukul 11 pagi (waktu Malaysia) dan berjanji akan bertindak balas terhadap sesiapa sahaja yang campurtangan dalam operasi Rusia.
Putin juga menggesa anggota tentera Ukraine meletakkan senjata mereka.
Kenyataan tersebut dibuat selepas Kremlin berkata, pemimpin-pemimpin pemberontak di timur Ukraine telah meminta bantuan ketenteraan Moscow bagi menangani Kiev.
Harga minyak dunia meningkat sejak beberapa minggu lalu dan mengatasi paras AS$100 hari ini buat kali pertama sejak September 2014.
“Ketegangan Rusia/Ukraine menyebabkan permintaan mengejut (untuk Eropah) dan lebih penting lagi, stok bekalan yang lebih besar untuk seluruh dunia berikutan peranan penting kedua-dua Rusia dan Ukraine dalam komoditi tenaga,” kata Eksekutif Bank Nasional Australia, Tapas Strickland. – AFP