Isu kenaikan harga barang kini menjadi perbualan ramai rakyat di bawah. Suri rumah merungut harga ikan, ayam dan sayur-sayuran naik mendadak. Kontraktor binaan dan orang kampung yang berhasrat membina bina rumah juga resah dengan kenaikan harga bahan binaan. Pesawah pula dibebani kenaikan harga benih padi dan racun.
Kenaikan harga bahan mentah ini ada kesan rantaian yang panjang jika tidak ditangani dengan berkesan. Kenaikan harga bahan binaan akan mendorong kepada kenaikan harga rumah.
Memandangkan harga rumah sudah sedia tinggi, peningkatan berterusan harga rumah bermakna semakin ramai yang tidak berupaya untuk memiliki rumah sendiri pada masa depan.
Harga bahan mentah makanan pula menjurus kepada kenaikan harga makanan bermasak. Hari ini, kalau makan nasi campur di kedai di Lembah Klang, sukar untuk mendapat harga di bawah RM10. Kita semua memang cuba berjimat.
Rata-rata orang bercakap mengenai kenaikan harga barangan menggila-gila. Ada 100 peratus kenaikannya dan ada pula barangan yang naik sampai 200 peratus. Sudah tidak terkawal segala barang yang dalam kawalan.
Orang yang berduit dan bergaji besar tak kisah semua ini, tetapi rakyat marhaen, kantin sekolah, sekolah berasrama penuh, maahad tahfiz, sekolah Agama Rakyat dan rumah kebajikan anak yatim dan sebagainya sangat terkesan dengan kenaikan ini.
Berapa perbelanjaan isi rumah hari ini? Berapa komitmen bulanan yang perlu disediakan oleh ketua keluarga? Inilah himpitan hidup.
Golongan kapitalis sering mengambil kesempatan di atas kesempitan dan kelemahan pihak rakyat kebanyakan. Sorok barang, manipulasi harga dan berbagai helah mereka. Usah harapkan mereka ada hati perut untuk fikir kesusahan pihak lain.
Sepatutnya semua pihak insaf, saling tolong menolong ketika semua pihak masih terkesan akibat pandemik COVID-19 ini. Masing-masing ada cara untuk menolongnya. Peniaga, pembekal ada cara tolongnya iaitu mengenakan harga berpatutan.
Manakala orang ramai pula selaku pelanggan menolong peniaga, pembekal untuk menghidupkan putaran ekonomi melalui kuasa beli yang ada kepada mereka. Yang pentingnya jangan terlalu tamak haloba.
Kerajaan perlu tingkatkan kawalan di dalam semua sektor kerana setiap masalah saling berkaitan di antara satu dengan yang lainnya.Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan agensi lain yang berkaitan perlu berterusan memantau dan mengambil tindakan penguatkuasaan bagi menangani isu kenaikan harga barang ini.
Rakyat negara ini perlu bersedia berdepan dengan kenaikan harga barang yang dijangka antara 30 hingga 200 peratus menjelang 2022 ekoran fenomena global dan spekulasi peniaga. Semua barangan keperluan asas dijangka menghadapi kenaikan, terutamanya makanan kerana sehingga kini negara masih bergantung kepada aktiviti import untuk menampung keperluan domestik. Ditambah nilai ringgit yang menyusut pada kadar RM4.24 berbanding dolar Amerika.